Sukan SEA 2019: Wan Kuzain Sudah Bersama Pasukan

Pemain yang sangat dinantikan kemunculannya oleh seluruh peminat bola sepak tanah air, Wan Kuzain Wan Kamal telah menyertai kem skuad bawah 22 tahun (B-22) negara dalam persiapan menghadapi saingan Sukan SEA 2019 di Filipina.

Peluang untuk membawa pulang pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikut itu sebelum ini kelihatan samar berikutan masalah dokumentasi dan pasportnya tetapi sumber daripada Astro Awani tersebut dilihat telah merungkai segalanya.

“Ini sesuatu yang amat bermakna. Setiap kali anda bermain untuk pasukan kebangsaan, anda bukan sahaja mewakili diri ataupun keluarga, anda mewakili seluruh negara. Harapan saya akan dapat tunjukkan dan pakai jersi ini dengan bangganya.”

“Tidak sabar untuk memulakan latihan dan lihat bagaimana. Saya akan lakukan yang terbaik, kerja keras, bersaing, dan lakukan apa yang saya boleh dan akan lihat apa yang akan terjadi,” Wan Kuzain bercakap kepada wartawan di Arena MPSJ, Subang Jaya petang semalam.

Dalam pada itu, pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee melihat pengalaman dimiliki Wan Kuzain dapat memberikan manfaat buat pemain lain dalam menimba ilmu .

“Kita perlu berikan beliau masa kerana dia baru tiba.”

”Pertamanya, tentu sekali kita mahu lihat bagaimana dia boleh berkombinasi dengan pemain lain atas padang dan kita tahu yang pemain tengah dari pasukan kebangsaan akan sertai kita selepas perlawanan menentang Indonesia (pada Selasa), apabila pemain ini sertai kita, kombinasi antara mereka amat penting sekali.

“Pada masa yang sama, di luar padang di mana beliau perlu bergaul dengan masyarakat tempatan atau bersama pemain dan ini amat penting untuk pembinaan pasukan dalam padang,” ujar Datuk Ong Kim Swee.

Sebaik sahaja selesai aksi skuad kebangsaan menentang Indonesia malam ini, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Haziq Nadzli dan Syahmi Safari dijangka akan turut dipanggil memperkuatkan pasukan yang akan bertanding dalam Sukan SEA 2019 itu.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram