Sukan SEA 2019: Vietnam Tidak Akan Berehat Panjang Selepas Menang Emas

Iklan

park-hang-seo-vietnam-sukan-sea-2019

Selepas 60 tahun, Vietnam akhirnya berhasil merangkul pingat emas Sukan SEA pada edisi 2019 selepas membenam Indonesia dengan keputusan 3-0 di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Ia adalah kejayaan yang sangat dinantikan semua penyokong dan akhirnya pengendali, Park Hang-seo berjaya membawanya pulang buat seluruh rakyat – kali pertama dalam sejarah Naga Emas.

Namun, bagi pasukan Vietnam, ini bukanlah masa untuk meraikan kejayaan tersebut apabila dijangkakan hanya akan berehat seketika sebelum berangkat ke Korea Selatan untuk kem latihan sebagai persediaan Kejohanan AFC B-23 di Thailand pada awal Januari.

Bercakap selepas kejayaan ke atas Indonesia, Park Hang-seo yang jelas gembira dipetik berkata kepada media, “Masih banyak kerja yang perlu dilakukan selepas kejohanan ini. Kami akan bertolak ke Korea Selatan untuk persediaan ke Kejohanan AFC B-23.”

“Pertama sekali, saya ingin menghadiahkan kejayaan ini kepada rakyat Vietnam, terutamanya yang cintakan bola sepak, Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) dan semua kelab. Sejujurnya, saya juga mahu hadiahkan kejayaan ini bukan sahaja kepada pemain tetapi barisan kejurulatihan dan semua yang membantu,” tambahnya.

“Melihatkan kecederaan beberapa pemain seperti [Nguyen] Quang Hai, [Nguyen] Trong Hung dan [Do] Thanh Thinh, saya tidak dapat bayangkan mereka akan mengatasi segala kesusahan dan jadual padat untuk kemenangan bergaya serta memenangi pingat emas.

“Inilah semangat Vietnam,” ujarnya kepada pihak media sambil menyatakan sedikit lega mengenai status kecederaan beberapa pemain yang tidak serius dan tidak mengganggu persediaannya menjelang kejohanan penting skuad B-23 di Thailand nanti.

Sementara itu, di sidang media yang tidak dihadiri oleh Park Hang-seo akibat layangan kad merah ke atasnya semasa perlawanan berlangsung, pembantunya, Lee Young-jin mengatakan yang mereka telah bersedia sepenuhnya untuk berdepan Indonesia.

“Segalanya sudah diatur oleh jurulatih [Park Hang-seo] untuk aksi berdepan Indonesia ini. Kami memecahkan sistem pertahanan mereka dan berhasil meledak tiga gol,” ujar Lee Young-jin.

“Kami telah berbincang mengenai perancangan pasukan untuk kejohanan selepas ini. Kami mahu mereka terus bangunkan para pemain Vietnam,” jelasnya lagi mengenai persediaan mereka sebelum perlawanan akhir menentang Indonesia semalam.

Krdit Featured Image: Thinmoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram