Sukan SEA 2019: Satu Mata Lebih Baik Dari Hilang Tiga Mata – Kim Swee

Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara memulakan aksi sulung kumpulan A dalam kejohanan Sukan SEA 2019 dengan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar di Stadium Memorial Rizal Manila pada petang Isnin.

Pengendali pasukan B-22, Datuk Ong Kim Swee mengakui pemainnya bergelut untuk mempamerkan corak permainan terbaik terutama pada separuh masa pertama sehingga melepaskan gol awal.

Bagaimanapun Kim Swee positif dengan kebangkitan anak buahnya pada separuh masa kedua yang beraksi lebih baik dengan mengawal permainan dan memperoleh deretan peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan.

“Kalau lihat daripada segi persembahan terutama di babak pertama kita masih lagi gagal mengawal permainan dengan baik. Namun separuh masa kedua kita bertambah baik dan nampak ada perkara positif.

“Perlawanan pertama sememangnya bukan mudah apatah lagi pemain sudah lama tidak bermain,” jelas Kim Swee kepada pemberita dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

“Walaupun hadapi kesukaran untuk menggerakkan bola di separuh masa pertama tetapi separuh masa kedua kita ada peluang lebih baik berbanding Myanmar.”

Dalam perlawanan tersebut, Myanmar terlebih dahulu garang mendahului menerusi tandukan So Moe Kyaw pada minit ke-14 sebelum Muhammad Hadi Fayyadh menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Ujar Kim Swee, sungguhpun skuad muda negara hanya meraih satu mata sahaja, namun ianya lebih baik daripada kehilangan keseluruhan tiga mata.

“Ini adalah satu mata yang cukup berharga dan kita tahu selepas ini kita akan menghadapi tiga perlawanan yang pastinya bukan mudah,” katanya lagi.

Perlawanan seterusnya agak getir buat skuad kendalian Ong Kim Swee itu kerana mereka akan bermain di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah dalam perlawanan kedua pada Jumaat, 29 November ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram