Sukan SEA 2019: PHISGOC Mohon Maaf Berikutan Masalah Dihadapi Kontinjen Bola Sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Tirai acara bola sepak Sukan SEA 2019 belum pun bermula, namun pelbagai masalah telah dihadapi pasukan bertanding sejak menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Manila.

Seperti yang dilaporkan, pasukan Timor-Leste dan Myanmar dipaksa menunggu beberapa jam bagi menantikan bas yang ditugaskan membawa mereka ke hotel penginapan tiba di lapangan terbang.

Pemain Timor-Leste menunggu lama di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino.

Kem Timor-Leste terus kecewa dengan pihak penganjur kerana kemudiannya mereka telah dihantar ke hotel penginapan yang salah.

Selain itu, para pemain Kemboja pula terpaksa tidur di bilik persidangan sementara menantikan proses ‘check in’ yang begitu lama.

Sehubungan dengan masalah yang dihadapi, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Tenggara Filipina (Phosgic) tampil memohon maaf kepada tiga negara tersebut menerusi kenyataan yang telah dikeluarkan.

Keadaan pemain bola sepak Kemboja.

Di samping itu, pihak PHISGOC turut mendedahkan perkara sebenar sebab terjadinya masalah tersebut.

”Kami [PHISGOC] memohon maaf kepada atlet daripada Timor-Leste, Myanmar dan Kemboja di atas kesulitan berikutan kekeliruan mengenai pengangkutan dan susunan hotel.”

”Sementara PHISGOC berusaha untuk memastikan penyelarasan maklumat ketibaan dan peruntukan pengangkutan buat semua pasukan antarabangsa ke hotel yang telah ditetapkan, kami mengakui kelemahan kami dan berjanji akan memperbaikinya.”

”Untuk maklumat orang ramai, kekeliruan dengan pasukan bola sepak Timor-Leste terjadi apabila beberapa orang anggota mereka pada awalnya telah dibawa ke Hotel Century bersama ahli pasukan yang lain.”

Kenyataan rasmi permohonan maaf daripada PHISGOC.

”Walaubagaimanapun, penyelaras Timor-Leste menegaskan bahawa sesetengah daripada mereka dijejaki di Hotel Jen yang berdekatan. PHISGOC berjaya untuk mengaturkan perjalanan ke hotel lain.”

”Mengenai pasukan bola sepak Kemboja, butiran perubahan ketibaan mereka lewat disampaikan kepada Jabatan Perkhidmatan Sukan PHISGOC. Maklumat awal yang disampaikan kepada PHISGOC, pasukan Kemboja tiba di NAIA pada jam 4.00 pagi.”

”Pengangkutan telah diberikan serta-merta tetapi kerana bilik hotel masih belum tersedia kerana masa daftar masuk kebiasaannya adalah pada jam 2.00 petang.”

”PHISGOC meminta agar pasukan dibenarkan menunggu di bilik persidangan hotel persendirian yang berhawa dingin dengan meja dan kerusi di mana mereka boleh berehat dan berasa selesa sambil menunggu bilik mereka.”

Sementara itu, pasukan Thailand terpaksa membatalkan sesi latihan pertama kerana kesesakan lalu lintas manakala kem Vietnam pula dilaporkan terpaksa mengambil langkah berpindah hotel kerana jarak yang jauh dengan padang latihan.

Pada ketika ini, skuad Malaysia masih kelihatan ‘aman’ sahaja di kota Manila.