Sukan SEA 2019: Padang Tiruan Bakal Sekat Kemampuan Sebenar Semua Pasukan?

Malaysia Myanmar Sukan SEA 2019 Umar Hakeem Adam Nor

Jika anda menonton perlawanan pertama Sukan SEA 2019 antara Malaysia dan Myanmar – kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga ke penghujung aksi, pada lewat petang semalam, anda akan dapat lihat bagaikan ada yang tidak kena dengan permainan skuad muda negara. Berbeda dengan apa yang pernah ditampilkan sebelum ini.

Malah, ketika persediaan untuk ke Sukan SEA, mereka menang dalam semua perlawanan yang diatur oleh barisan kejurulatihan. Harimau Muda menang 4-0 ke atas PJ City, 3-0 ke atas Northern Territory Selection dan 3-0 ke atas Western Australia Selection.

Gerakan yang direncana dilihat hampir tidak sempurna, kawalan bola adakalanya tidak baik, malahan Haziq Nadzli beberapa kali terlepas bola dari tangkapannya. Ada yang mengatakan faktor keserasian, faktor pemilihan pemain dan sebagainya.

Pada pendapat penulis, faktor padang adalah antara penyumbang menyebabkan skuad B-22 negara dilihat bergelut dan suatu yang bagus apabila pengendali, Datuk Ong Kim Swee tidak sedikit pun menyalahkan kualiti padang yang disediakan penganjur – kerana semua pasukan akan menggunakan kualiti padang yang sama.

Ini adalah kali pertama sejak 60 tahun penganjuran Sukan SEA, bola sepak tidak akan berlangsung di atas padang rumput biasa.

Apabila pengajur, Filipina mengumumkan akan menggunakan sepenuhnya padang sintetik untuk acara bola sepak, ia sedikit menggemparkan sehinggakan Vietnam telah menghantar wakil terlebih dahulu untuk melihat keadaan padang tiruan tersebut.

Ini bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan keadaan padang apabila pertandingan berlangsung. Dan, dalam suasana di kem mereka yang kurang berpuas hati dengan keadaan padang, Vietnam menang 6-0 ke atas Brunei pada perlawanan pertama.

Selain itu, ketika sidang media bersama semua ketua jurulatih pada Ahad, pengendali Thailand, Akira Nishino telah mempersoalkan pihak penganjur yang menyediakan padang latihan rumput biasa sedangkan untuk pertandingan padang tiruan akan digunakan.

“..sehingga kami terpaksa berlatih atas jalan raya malam tadi [untuk sesuaikan diri],” sindir pengendali berasal dari Jepun itu.

Ada sesetengah pendapat mengatakan, bermain di atas padang tiruan sebegini menghalang pasukan mencapai standard yang diinginkan selain memberi masalah sampingan seperti kelajuan bola dan lantunan bola yang sukar untuk diduga pemain serta dikatakan boleh menyumbang kepada kecederaan tidak terduga.

Melihatkan situasi semalam, beberapa pemain negara dilihat mengalami kecederaan antaranya Akhyar Rashid, Umar Hakeem, Dominic Tan dan Danial Amier memaksa Ong Kim Swee membuat pertukaran pemain. Diharapkan ianya bukanlah kecederaan serius.

Bukan sahaja di kem Malaysia, malah pemain-pemain Myanmar dilihat turut seakan-akan bergelut dengan masalah yang sama.

Dengan hanya 20 pemain sahaja boleh dibawa, jadual Sukan SEA yang diketahui sangat padat dan bermain di atas padang tiruan, semua kem terpaksa lebih berhati-hati dalam setiap perlawanan. Dan diharapkan, skuad negara akan mampu mengharungi semua perlawanan selepas ini dengan pendekatan lain yang lebih baik.

Kredit Featured Image: Live FB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram