Sukan SEA 2019: Ong Kim Swee Mahu Anak Buah Waspada Ancaman Filipina

Pengendali skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan barisan pemainnya agar berwaspada dengan ancaman pasukan tuan rumah, Filipina pada aksi kedua Sukan SEA 2019.

Filipina yang dibimbing Goran Milojevic sekadar mengutip satu mata selepas mengharungi dua perlawanan apabila terikat 1-1 bertemu Kemboja dan tumpas 1-2 ditangan Myanmar, semalam.

Menurut sumber Bernama, meskipun keputusan tersebut boleh dianggap kurang meyakinkan buat kem Filipina, Ong Kim Swee menilai skuad dikenali sebagai ‘Junior Azkals’ itu tetap merupakan pasukan yang sukar untuk dihadapi anak buahnya.

“Filipina bukan pasukan yang mudah untuk kita bermain nanti, saya percaya Myanmar juga menghadapi situasi yang sama, mereka hanya mendapat gol kemenangan pada minit ke-79.”

Ong Kim Swee
Datuk Ong Kim Swee

”Jadi kita harus berwaspada di sini, mereka hanya tewas dan seri sekali dan berada dalam keadaan yang tidak lagi boleh kehilangan mata.”

“Mereka sudah pasti akan memberikan kita satu saingan yang cukup sengit. Kita perlu main dengan cara kita, pada masa yang sama harus tidak ghairah dan mengawal keadaan seberapa lama yang boleh untuk memastikan gawang kita tidak boleh dibolosi.

“Jika itu yang berlaku, dah tentu peluang kita amat cerah untuk kita dapatkan mata penuh pada esok, mata yang penting untuk kita juga,” ujar Datuk Ong Kim Swee bercakap kepada pemberita di Manila, pagi tadi.

Pertemuan penting bertemu Filipina ini bakal berlangsung pada jam 8.00 malam esok di Stadium Memorial Rizal yang menyaksikan skuad negara turut mengintai kemenangan sulung selepas diikat Myanmar 1-1 pada aksi pembukaan tempoh hari.

Kredit foto: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram