Sukan SEA 2019: Ong Kim Swee Akui Sukar Pilih 20 Pemain Terbaik

Ong Kim Swee Mahadi

Pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee menerusi rancangan Formasi dipetik mengakui yang pemilihan skuad Sukan SEA kali ini adalah sukar untuknya. Di dalam senarai di kem latihan terdapat ramai pemain-pemain yang layak untuk diterbangkan ke Filipina.

Dalam kesukaran tersebut, Kim Swee jelas gembira kerana memiliki pilihan pemain yang boleh dikatakan setara dari segi kemampuan. Ada beberapa pemain daripada skuad B-19 dan juga skuad senior.

“Ya [sukar buat pilihan]. Kita tahu beberapa pemain daripada skuad kebangsaan akan bersama kita nanti. Dan dengan pemain yang sedia ada terutamanya di bahagian tengah, sudah tentu akan memberi saya sedikit kesukaran untuk memilih yang terbaik.

“Namun, itu satu perkara positif, di mana saya harus mengimbangi setiap posisi kerana kita tahu jadual yang amat ketat di Sukan SEA, di mana saya dapat pemain yang boleh bermain di beberapa posisi dan di simpanan juga terdapat pemain yang sama kekuatannya,” ujarnya ketika dihubungi oleh rancangan Formasi pada Khamis.

Ketika ditanyakan mengenai status pemain lebih umur, pengendali berusia 48 tahun itu menegaskan pemain berpengalaman masih diperlukan bagi mengimbangi skuadnya tetapi masih belum membuat keputusan mengenai pemain yang bakal dipanggil.

Kelmarin, akhirnya Kim Swee telah memuktamadkan 20 pemain skuad negara dan paling mencuri tumpuan adalah pengguguran Wan Kuzain Wan Kamal disebabkan masalah dokumentasi. Begitupun, skuad kali ini, boleh dikategorikan sangat ampuh.

Tujuh pemain adalah dari skuad yang meraih pingat perak pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin, Danial Amier Norhisham, Irfan Zakaria dan bek sayap, Syahmi Safari.

Sementara Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria adalah dua pemain lebih umur yang dipanggil, masing-masing berusia 23 tahun dan 24 tahun. Dijangkakan kedua-duanya akan mengetuai benteng dan bakal diberikan peranan ketua dan pembantu ketua pasukan.

Dan, pastinya penampilan paling dinantikan oleh para penyokong kali ini adalah aksi tiga pemain B-19 yang lulus untuk bersama skuad B-22 iaitu penyerang Luqman Hakim Shamsudin, pemain tengah, Umar Hakeem dan pertahanan, Harith Haikal.

Kredit Featured Image: Osman Adnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram