Sukan SEA 2019: Mahu Gegar Jaring Thailand, Faris Ramli Buru Gol Pertama Singapura

Faris Ramli Singapura Indonesia Sukan SEA 2019

Pemain senior, Faris Ramli mahu membuktikan kehadirannya ke dalam skuad Sukan SEA dapat membantu pemain-pemain muda Singapura menghadirkan keputusan positif berdepan Thailand pada petang ini untuk aksi Kumpulan B, Sukan SEA 2019.

Bergelar Pemain Terbaik Liga Singapura 2019, Faris Ramli telah dibawa oleh pengendali, Fandi Ahmad kerana mahu dijadikan inspirasi kepada pemain muda selain mengharapkan sentuhan jaringan pemain tersebut di temasya dwi tahunan itu.

Sebaliknya, Singapura ketika ini belum lagi berhasil meledak sebarang gol dan hanya meraih satu mata ketika terikat tanpa jaringan berdepan Laos dalam aksi pembukaan mereka.

“Sudah tentunya ia mengecewakan saya dan rakan sepasukan. Tetapi saya akan cuba sebaiknya untuk memotivasi mereka kerana kita masih memiliki peluang untuk layak [ke separuh akhir] jika menang ke atas Thailand,” memetik katanya di The Straits Times.

“Saya di sini sebagai pemain senior bersebab – untuk membantu para pemain. Segalanya mungkin masih tidak memihak kepada kami lagi tetapi kita sentiasa memberikan yang terbaik.

“Kami tidak bernasib baik untuk meledak gol walaupun beraksi kurang baik berdepan Laos. Berdepan Indonesia, kami berjaya membuat mereka bergelut sepanjang babak pertama.

“Gol pertama Indonesia terhasil akibat kesilapan kami sendiri bukan daripada gerakan yang direncana lawan,” ujarnya lagi.

Tambahnya, mereka mungkin perlu lebih tenang di depan gawang kerana dalam kedua-dua perlawanan menentang Laos dan Indonesia, tiang telah menggagalkan percubaan mereka.

“Ia sangat mengecewakan kerana bola tidak mahu masuk ke gol. Kami berjaya mengegar palang gol dalam kedua-dua perlawanan. Mungkin kami perlu lebih tenang di depan gol,” tambahnya.

Bersama kelab Hougang United, Faris Ramli telah meledak 17 gol untuk musim 2019 dan pastinya sentuhannya akan ditagih ketika berdepan Thailand selepas Ikhsan Fandi dikhabarkan tercedera.

Perlawanan ini akan menjadi penentu nasib Singa Muda dalam saingan Sukan SEA dan pemain berusia 27 tahun itu tidak mahu menyerah kalah terlalu awal dan akan bangkit memberi tentangan.

“Perlawanan ini adalah penentunya, dan semua mahu memberikan yang terbaik untuk mengatasi Thailand. Ia bukan satu perlawanan yang mudah tetapi bukan mustahil untuk menewaskan mereka,” jelasnya yang bakal menyarung jersi Terengganu FC musim depan.

Kredit Featured Image: Vietnam.Net

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram