Sukan SEA 2019: Kim Swee Enggan Layan Perang Psikologi Popov

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Pasukan Myanmar telah pun meraih empat mata dalam kumpulan A bagi kejohanan Sukan SEA 2019 selepas menundukkan pasukan tuan rumah Filipina 2-1 di Stadium Memorial Rizal Filipina pada Rabu.

Keputusan itu membuatkan ketua jurulatih skuad bawah 22 (B-22) Myanmar, Velizar Popov berasa lebih selesa untuk mengharungi baki perlawanan memandangkan mereka akan berdepan Kemboja dan Timor-Leste untuk dua aksi terakhir.

Namun apa yang menarik perhatian adalah ‘peringatan’ bekas pengendali Kelantan itu yang mengatakan Malaysia perlu berusaha keras untuk mengatasi skuad The Azkals yang mempunyai kelebihan fizikal.

Posted by Myanmar Football Federation on Wednesday, November 27, 2019

“Filipina juga pasukan yang menarik. Mereka bermain dengan amat baik dan tersusun. Mereka mempunyai pemain yang hebat, pemain di tahap berbeza dan saya menggemari pemain seperti itu,” ujar jurulatih berusia 43 tahun itu seperti yang dilaporkan oleh Stadium Astro.

“Mereka boleh menewaskan mana-mana pasukan. Jika anda (Malaysia) tidak menumpukan perhatian dan memberikan mereka ruang untuk melakukan serangan balas dan gerakan set piece, mereka amat berbahaya kerana mereka memiliki (pemain dengan) fizikal yang amat kuat dan tinggi.”

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee beranggapan jurulatih warga Bulgaria itu sekadar mahu meraih publisiti murahan dan tidak mahu mainan psikologi itu mengganggu tumpuan pemainnya.

“Saya fikir ia satu (mainan) psikologi daripada Popov kerana kita tahu dia memang suka bercakap. Dia sukakan publisiti, jadi biarlah.

“Kita tidak harus memikirkan tentangnya kerana mereka sudah mendapatkan empat mata dan berada di posisi yang cukup selesa.

“Yang penting, kami perlu melalui setiap perlawanan dengan cara permainan tersendiri tanpa memikirkan apa yang dikatakan sesiapa,” kata Kim Swee lagi.