Sukan SEA 2019: ‘Keppa Arrizabalaga’ Indonesia Optimis Kekal Kebal

Iklan

Nadeo Argawinata Indonesia Sukan SEA 2019

Vietnam sedang cuba mencari jalan untuk menembusi gawang Indonesia menjelang pertembungan kedua-dua pasukan untuk aksi ketiga Kumpulan B, SUkan SEA 2019, pada malam nanti.

Indonesia masih belum dibolosi sebarang gol selepas menang 2-0 ke atas juara bertahan, Thailand dan kemudian mengatasi Singapura juga dengan keputusan 2-0, dua hari kemudian.

Kecemerlangan penjaga gol Garuda Muda, Nadeo Argawinata menjadi sebutan ketika ini malah dikatakan persis penjaga gol Sepanyol, Keppa Arrizabalaga dari segi gaya dan wajahnya.

Malah, media di Indonesia serta para penyokong Indonesia turut mahukannya menjadi penjaga gol skuad senior kerana dikatakan lebih baik berbanding penjaga gol sedia ada ketika ini.

Begitupun, Nadeo Argawinata menjelaskan kepada media yang penampilan baik Indonesia di Sukan SEA adalah atas kerja keras semua bermula daripada pengurusan, jurulatih dan para pemain.

“Prestasi ini bukan hanya kerana saya seorang,” ucap penjaga gol berusia 22 tahun itu sambil memberi kredit kepada semua.

“Skuad B-22 Indonesia belum bolos hasil kerja keras semua pihak bermula daripada pengurusan, jurulatih dan para pemain,” ujarnya.

Penjaga gol kelab Borneo FC itu mampu membuat Vietnam gigit jari dan telah menyebabkan pengendali Vietnam, Park Hang-seo memilih untuk tidak membenarkan liputan sesi latihan skuadnya serta telah mengadakan sesi latihan tertutup menjelang aksi.

“Kami akan berdepan Vietnam, pasukan yang memiliki sentuhan jaringan yang baik di kejohanan ini. Ini adalah perlawanan yang sengit dan saya yakin tidak akan dibolosi dalam perlawanan tersebut” tambah Nadeo Argawinata kepada pihak media.

Vietnam telah mencetak 12 gol selepas dua aksi hasil kemenangan besar ke atas Laos dan Brunei. Vietnam menang 6-0 ke atas Brunei dan kemudian menundukkan Laos 6-1, pada Khamis lalu. Garuda Muda perlu berhati-hati dengan dua pemain yang telah meledak tujuh gol kesemuanya iaitu Ha Duc Chinh dan Nguyen Tien Linh.

Pemenang antara Indonesia dan Vietnam pada malam nanti akan menjadikan mereka sebagai pendahulu kumpulan selain turut mencerahkan peluang untuk layak ke separuh akhir dan jika keputusan seri, Vietnam kekal di kedudukan teratas kumpulan.

Kredit Featured Image: Borneo FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram