Sukan SEA 2019: Inilah semangat Vietnam, Kita Tidak Pernah Menyerah – Park Hang-seo

Park-Hang-Seo-Vietnam-September-2019

Vietnam kini unggul di takhta Kumpulan B, Sukan SEA 2019 selepas menundukkan Indonesia dengan keputusan 2-1, hasil jaringan di minit kecederaan babak kedua oleh Nguyen Hoang Duc.

Penyerang berusia 21 tahun itu meledak jaringan jarak jauh bagi membantu Vietnam meraih tiga mata penuh seterusnya kekal di kedudukan teratas kumpulan. Indonesia terpaksa turun ke tempat ketiga apabila pesaing, Thailand menang 3-0 ke atas Singapura.

Sebagai perlawanan pasukan teratas liga yang menjadi tumpuan ramai, aksi kedua-dua pasukan memang sukar dengan Indonesia pula masih kebal tanpa bolos selepas dua perlawanan awal.

Garuda Muda terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Sani Rizki pada minit ke-23 seterusnya mempamerkan formasi bertahan yang menyukarkan Vietnam untuk memecah masuk.

“Hari ini, kita telah tunjukkan semangat Vietnam. Kita melepaskan gol pada babak pertama tetapi kita tidak mengalah. Kita bangkit melawan dan akhirnya kita menang. Inilah semangat Vietnam, kita tidak pernah menyerah,” ujar pengendalinya, Park Hang-seo.

Kesilapan penjaga gawang Naga Emas, Bui Tien Dung yang gagal membaca hantaran lambung pemain sayap lawan telah memakan diri apabila bola yang terlepas daripada tangannya disambut dengan tandukkan mudah menggegar jaring oleh Sani Rizki.

Begitupun, Park Hang-seo sama sekali tidak menyalahkan penjaga golnya itu kerana baginya dia tidak gemar bercakap mengenai kesilapan individu tetapi menyalahkan dirinya sebagai jurulatih.

“Apa sahaja yang berlaku di dalam padang, ia sepenuhnya adalah tanggungjawab pengendali pasukan. Oleh itu, saya tidak suka untuk bercakap mengenai kesilapan individu,” ujarnya yang dipetik berkata di sidang media oleh VNExpress sejurus perlawanan.

Vietnam akhirnya berhasil memburu jaringan penyamaan yang disempurnakan oleh Nguyen Thanh Chung pada minit ke-64 sebelum di masa kecederaan, muncul Nguyen Hoang Duc untuk menjadi hero buat Vietnam bagi menumpaskan Indonesia.

Walaupun penjaga gawang, Nadeo Argawinata melaungkan tekad untuk tidak dibolosi pada aksi malam tadi, namun ianya gagal direalisasikannya apabila telah melepaskan dua gol buat lawan yang juga pencabar terdekat slot ke sepauh akhir itu.

Kredit Featured Image: VFF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram