Sukan SEA 2019: Hentikan Hinaan Dan Cacian, Sokonglah Kami – Adam Nor Azlin

Adam Nor Azlin Haziq Nadzli Sukan SEA 2019 Malaysia Filipina

Kapten skuad Sukan SEA 2019, Adam Nor Azlin merayu penyokong skuad negara agar menghentikan sebarang hinaan ke atas Harimau Muda kerana ia tidak membantu malah menjatuhkan pasukan.

Pertahanan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad senior itu juga kecewa sebagaimana apa yang dirasai oleh para penyokong namun, menurutnya mereka akan bangkit selepas kekalahan ini.

Malaysia tumbang 0-1 kepada tuan rumah, Filipina dalam aksi Kumpulan A yang berlangsung pada Jumaat selepas kapten dan pemain tengah, Stephan Schrock berhasil meledak gol mereka pada minit ke-74 menerusi sepakan penjuru yang mengelirukan.

Pemain berusia 23 tahun itu turut memohon untuk rakyat Malaysia mendoakan mereka agar berjaya menundukkan Timor Leste pada Isnin depan dan Kemboja, dua hari kemudian untuk aksi terakhir.

“Sebagai manusia biasa, pemain tidak seharusnya dihina atau dicaci susulan kekalahan itu kerana ia boleh menjatuhkan motivasi pasukan,” memetik kenyataannya di portal Berita Harian.

“Kami memang kecewa tetapi saya percaya pemain sudah memberikan apa yang mereka ada. Saya rasa bangga dengan semua pemain dan kami hanya mohon doa rakyat Malaysia,” jelasnya lagi sambil menekankan pemain juga ada maruah.

“Jangan apabila kita kalah pemain dikutuk dan dihina seperti kami tiada maruah. Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik.

Adam Nor Azlin merupakan salah satu tonggak pertahanan dalam formasi 3-4-3 yang diterapkan oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee dan bergandingan bersama Dominic Tan dan Irfan Zakaria.

Di atas kertas, benteng bertiga ini adalah pilihan terbaik dan dilihat mampu untuk mengekang serta mengukuhkan skuad negara namun, setakat ini nasib belum menyebelahi Harimau Muda. Mereka bertiga bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik.

Skuad negara telah dua kali dibolosi iaitu satu gol masing-masing ketika berdepan Myanmar dan Filipina, malah dalam kedua-dua perlawanan, dapat dilihat Dominic Tan kerap kali memegang pehanya, mungkin masalah kekejangan atau kecederaan.

Ketika ditanyakan Harian Metro mengenai formasi bek bertiga yang diterapkan oleh pengendalinya, Adam Nor Azlin menjelaskan yang formasi tersebut memerlukan fokus yang sangat tinggi.

“Tapi memang formasi ini (tiga pertahanan) memerlukan fokus yang lebih kepada pertahanan tengah sebab itu adalah asasnya.

“Bagi saya ia tak ada masalah, mungkin ada benda-benda yang kita boleh perbaiki lagi sebab kita ada dua perlawanan lagi dan saya rasa pemain-pemain akan bangkit dalam baki aksi ini,” tambahnya.

Kredit Featured Image: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram