Sukan SEA 2019: Datuk Haji Hamidin Gesa Pemain Fokus & Konsisten

Hamidin

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menuntut supaya barisan pemain yang terpilih bagi menggalas tanggungjawab negara di Sukan SEA 2019, Filipina agar fokus dan konsisten dalam usaha mencipta kejayaan.

Menurut sumber laman Facebook rasmi FAM, Datuk Haji Hamidin turut yakin dengan kemampuan para pemain yang dipilih ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee.

“Dengan barisan pemain yang saya lihat sebagai gabungan mantap diumumkan hari ini [semalam], saya yakin pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee mampu melakar kejayaan.

“Mereka yang dipilih itu memang berkualiti tinggi, tapi pemain-pemain perlu konsisten, fokus dan berdisiplin hingga ke perlawanan akhir untuk berjaya.

“Namun, dengan pengalaman yang ada pada Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal selaku pengurus pasukan B-22 kebangsaan dan ketua jurulatih, Datuk Ong, saya yakin dengan pemain-pemain yang dipilih untuk membawa cabaran Malaysia dalam Sukan SEA tahun ini.”

Dalam pada itu, Hamidin turut mengingatkan kem skuad negara supaya berwaspada dengan lawan yang bakal ditemui terutamanya Filipina kerana mereka memiliki kelebihan selaku tuan rumah.

Skuad kebangsaan dijadualkan bertemu Myanmar pada aksi pertama Isnin ini sebelum menentang tuan rumah (29 November), Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember).

Kredit foto: Football Association of Malaysia (Official)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram