Sukan SEA 2019: Akira Nishino Berharap Tiada Lagi Pemain Senasib Ekanit Panya

Ketua jurulatih skuad B-22 Thailand, Akira Nishino tidak mahu terus kehilangan pemain dalam usaha anak buahnya untuk mencipta kejayaan dalam Sukan SEA 2019.

Kem Thailand sedikit tersentak selepas sandaran utama, Ekanit Panya terpaksa diketepikan akibat kecederaan yang dialami ketika Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Vietnam tempoh hari.

Ekanit terpaksa menjalani pembedahan lutut yang sekaligus menutup rapat peluang beliau untuk membantu skuad Thailand dalam saingan dwitahunan di Filipina itu.

”Saya berdoa tiada lagi pemain Thailand yang akan mengalami kecederaan.”

Barisan 19 pemain Thailand yang akan menghadapi Sukan SEA 2019 Filipina.

”Kejohanan ini [Sukan SEA] merupakan pertandingan yang penting dan kami sudah pun kehilangan seorang pemain. Ekanit [Panya] mengalami kecederaan dan peraturan pertandingan tidak membenarkan kami menukar mana-mana pemain.”

”Saya risau kerana kejohanan ini akan dimainkan di padang rumput tiruan [artificial] yang memberikan risiko tinggi untuk pemain mendapat kecederaan.”

”Saya sangat mengetahui bahawa harapan yang diletakkan adalah sangat tinggi dan penyokong bola sepak Thailand mahukan kami memenangi pingat emas, tetapi kerisauan utama saya adalah untuk mengekalkan kecergasan pemain dan mengelakkan mereka dari mengalami sebarang kecederaan.”

”Peraturan pertandingan perlu diubah. Terdapat jurang hanya sehari di antara perlawanan dan kami hanya dibenarkan membawa 20 pemain tanpa sebarang penggantian boleh dibuat,” ujar Akira Nishino bercakap ketika sidang media.

Thailand yang merupakan pemenang 16 pingat emas Sukan SEA sejak 1965 diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Vietnam, Indonesia, Singapura, Laos dan Brunei.

Kredit foto: Changsuek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram