Sukan Olimpik: Malcolm Pastikan Brazil Tewaskan Sepanyol Untuk Pingat Emas

Pertemuan Brazil dan Sepanyol adalah perlawanan akhir idaman setiap peminat sukan bola sepak tanpa kira peringkat mana ia berlaku.

Di Sukan Olimpik kedua-dua negara mempunyai sejarah memiliki 1 pingat emas. Ia agak mengejutkan mengambil kira betapa gahnya kedua-dua negara di peringkat bola sepak antarabangsa selama ini.

Kali terakhir Sepanyol merangkul emas ialah pada 1992 di Barcelona. Brazil pula melakukannya pada 2016 di Rio de Janeirio. Kali ini kedua-dua pasukan cuba melakukannya dari luar negara dan benua asal masing-masing.

Kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati dan perlawanan lebih tertumpu kepada usaha kedua-dua pasukan mengawal bahagian tengah.

Brazil memiliki peluang terbaik untuk memecah kebuntuan jaringan dalam perlawanan ini apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti selepas penjaga gol Sepanyol, Unai Simon dipersalahkan kerana menjatuhkan Matheus Cunha.

Richarlison yang beraksi baik sepanjang Olimpik dan berada pada prestasi terbaiknya bagaimanapun merembat tinggi bola tersebut.

Tatkala babak pertama perlawanan seperti akan terikat tanpa jaringan, Brazil berjaya memperolehi gol pertama perlawanan melalui Matheus Cunha selepas pemain itu bijak menyudahkan hantaran lintang Daniel Alves pada masa kecederaan babak pertama.

Kedudukan 1-0 tersebut memberi kelebihan awal kepada Brazil, yang memulakan perlawanan dengan lebih agresif untuk menekan Sepanyol.

Sepanyol pula memulakan babak kedua dengan melakukan dua pertukaran, memasukkan Bryan Gil dan Carlos Soler untuk Mikel Moreno dan Marco Asensio.

Richarlison sepatutnya meletakkan Brazil dua gol di hadapan, namun percubaan pemain itu dari dalam kotak penalti hasil serangan balas pantas sekadar terkena palang sebelum bola pantas dikeluarkan pemain Sepanyol.

Enggan menyerah, Sepanyol terus memberikan tekanan kepada Brazil. Minit ke-60 perlawanan usaha mereka akhirnya berhasil hasil jaringan cantik Mikel Oyarzabal.

Bermula dari Bryan Gil yang melorongkan bola kepada Carlos Soler di ruang kosong sebelah kanan, pemain gantian itu melintangkan bola yang disambut dengan satu first timer oleh Oyarzabal untuk kedudukan menjadi 1-1.

Kedua-dua pasukan cuba menekan satu sama lain selepas itu, namun usaha masing-masing gagal membuahkan hasil.

Minit ke-88 menyaksikan rembatan deras kaki kiri Bryan Gill sekadar mengegerkan palang gol Brazil.

90 minit perlawanan akhirnya tamat selepas tiga minit masa tambahan untuk perlawanan diheret ke masa tambahan.

Masa tambahan babak pertama menyaksikan Brazil menguasai perlawanan dan memaksa Unai Simon berada pada tahap terbaik memastikan gawang tidak dibocori.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun terus buntu dengan jaringan sehingga babak pertama masa tambahan tamat.

Babak kedua masa tambahan, Brazil mulai melihat kilauan pingat emas apabila Malcolm berjaya menewaskan Unai Simon pada minit ke-109 perlawanan.

 

Bermula dari Anthony yang melakukan hantaran jauh ke kiri padang, larian Malcolm berjaya menewaskan seorang pemain pertahanan Sepanyol sebelum berhadapan dengan Unai Simon, dan pemain itu tenang memastikan Brazil 2-1 di hadapan.

Sepanyol cuba melakukan apa yang terdaya dalam usaha mencari gol penyamaan, tetapi Brazil bertahan sebaik mungkin sehingga wisel penamat ditiupkan, dan pingat emas sah milik Brazil.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Brazil XI: Santos; Alves, Nino, D Carlos, Arana; Antony, Guimaraes, Luiz, Claudinho; Richarlison, Cunha
Spain XI: Simon; Gil, Torres, Garcia, Cucurella; Zubimendi, Pedri, Merino; Asensio, Oyarzabal, Olmo

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply