Sudah Pokai & Miskin, Ini Cara Ronald Koeman Pastikan Barcelona Kembali Ke Landasan Persaingan

Kerjasama Semuanya BOLA

Sukar untuk mempersoalkan apa yang dilakukan oleh Ronald Koeman untuk Barcelona buat masa ini. Pengendali dari Belanda ini seperti sudah menemui tonik untuk membangkitkan Barceona selepas permulaan yang buruk.

Barcelona sekarang dilihat mulai membina momentum untuk aksi yang lebih konsisten. Sejak dimalukan Cadiz pada awal Disember lalu, Barcelona kini telah merekodkan enam kemenangan dan dua seri.

Misi pertama di eropah untuk layak ke pusingan seterusnya juga telah diselesaikan dengan mudah, dan saingan di LaLiga Santander kini tampak lebih jelas.

Paling penting, perubahan ini melibatkan ramai individu dan dari kalangan mereka yang sinonim dengan kelab ini.

Ini bermakna Pelan B Koeman kini berada d landasan betul. Ramai mengatakan skuad sedia ada lebih lemah berbanding pasukan sebelum ini. Perancangan asal atau Pelan A sememangnya melibatkan ketibaan beberapa muka baharu. Namun itu tidak dapat direalisasikan kerana kantung Barcelona yang dalam keadaan sukar.

Koeman terpaksa beradaptasi dengan apa yang beliau ada dan menemui jawapan yang beliau perlukan untuk maju je hadapan. Buat masa ini beliau tampak berjaya melakukannya. Apakah pelan B oleh Koeman sehingga mampu membawa Barcelona menduduki tangga ketiga liga dan kembali bersaing untuk kejuaraan bersama pasukan seperti Real Madrid dan Atletico Madrid?

Clean sheets

Sama ada Koeman memilih untuk menurunkan Marc-Andre ter Stegen atau pun Neto di hadapan gawang, kedua-duanya beraksi dengan cemerlang menyukarkan pihak lawan untuk menjaringkan gol.

Sehingga kini, Barcelona telah menghasilkan 10 clean sheets dalam semua pertandingan.

Perkara ini tiba pada ketika gergasi Catalan ini mengalami banyak kecederaan di bahagian pertahanan.

Intensiti permainan

Beraksi menentang Dynamo Kiev, Osasuna dan Ferencvaros, Barcelona boleh disifatkan telah menampilkan intensiti permainan yang positif.

Pemain-pemain melakukan pressing secara bersama untuk kembali memenangi bola di garisan atas.

Perkara ini adalah antara taktik yang dilakukan oleh kebanyakkan pasukan terbaik di eropah.

Hanya masa akan memberitahu dan menterjemahkan kepada kita bila Barcelona akan menguasai tempo permainan yang mereka kehendaki menentang pasukan yang lebih besar.

Gol

Barcelona juga seperti tidak berhenti menjaringkan gol. Gol adalah masalah utama Barcelona pada awal musim.

Namun perlahan-lahan ketajaman tersebut mulai kembali. 37 gol oleh Barcelona setakat ini adalah yang terbanyak dari kalangan pasukan-pasukan yang bertanding di La Liga.

Menariknya mereka tidak bergantung kepada Lionel Messi semata-mata. Tetapi kini Messi juga seperti sudah menemui prestasi lamanya yang digeruni lawan dengan 11 gol untuk mendahului senarai penjaring La Liga.

Selain Messi, pemain lain seperti Martin Braithwaite, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele juga mulai bermain bersama sebagai satu unit untuk mencetak gol. Begitu juga dengan muka-muka baru seperti Ansu Fati dan Pedri yang akan membentuk generasi baharu Barcelona.

Pemain dahagakan aksi

Pada awal musim kami pernah melaporkan bagaimana intensiti rejim latihan di bawah kendalian Koeman.

Ada di kalangan pemain menggelar bekas pengurus Everton ini sebagai Sarjan Koeman kerana ketegasan dan disiplin yang diterapkannya.

Namun ia nyata berhasil. Pemain dilihat lebih berselera di atas padang kerana mempunyai tahap kecergasan yang baik.

Kini giliran pemain pula dahaga untuk membuktikan keupayaan diri kepada Koeman untuk mendapatkan minit aksi yang lebih banyak.

Gerakan dari sayap

Barcelona mulai menyedari bahawa mereka tidak selalunya boleh melakukan gerakan dari bahagian tengah, terutama apabila berhadapan pasukan yang kompak dan mengamalkan corak permainan bertahan.

Koeman menyedari kemampuan beraksi dengan baik di bahagian sayap penting untuk variasi. Sekali lagi ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Messi.

Maka pilihan Koeman untuk mengandingkan Seginho Dest bersama Ousmane Dembele amat tepat sekali.

Strategi tersebut mulai membuahkan hasil, dan kedua-duanya menjadi pemain yang amat penting pada musim ini.

Rumusan

Apa yang nyata ialah Koeman tahu apa yang beliau lakukan untuk Barcelona. Paling penting ialah pemain-pemain berada di belakang beliau untuk kembali membangkitkan Barcelona.

Di sebalik permasalahan politik di luar padang, pokai, miskin, tidak mampu membawa pemain baharu, Koeman tetap mampu memastikan anak buahnya terus fokus di dalam padang.

Masih terlalu awal untuk meramalkan sejauh mana Koeman mampu membawa Barcelona mengharungi saingan pada musim ini. Buat masa ini segalanya tampak berada di landasan sepatutnya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply