Stuart Ramalingam Tepis Kenyataan Kipre Tchetche Akan Dinaturalisasikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Kipre Tchetche Kedah Pra-Musim 2020

Beberapa hari lalu tular mengenai kemungkinan penyerang import Kedah, Kipre Tchetche berada dalam senarai menunggu untuk dinaturalisasikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut laporan Sinar Harian pada 4 Januari yang lalu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan mengenai kesukaran untuk mencari pemain import untuk dinaturalisasikan bagi skuad kebangsaan disebabkan tidak memenuhi kriteria ditetapkan FIFA.

Disamping itu, Stuart Ramalingam dipetik berkata, calon seterusnya mungkin adalah Kipre Tchetche yang akan cukup tempoh menetap lima tahun di Malaysia pada tahun 2021 atau 2022, namun belum dapat dipastikan mengenai situasi penyerang berusia 32 tahun itu.

Menurut laporan The Star hari ini, Stuart Ramalingam menafikan yang pihaknya mengeluarkan kenyataan mengenai Kipre Tchetche sedang dalam proses untuk dinaturalisasikan oleh pihak FAM.

Hanya dua pemain berada dalam senarai menunggu iaitu Liridon Krasniqi yang ketika ini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penyerang, Guilherme de Paula yang dipinjamkan JDT ke Perak.

Selain daripada itu, hanya bekas penyerang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), Michael Ijezie yang pernah berada dalam senarai menunggu FAM, namun terpaksa disisihkan selepas tidak memenuhi kehendak pasukan dari bahagian teknikal pasukan.

“Dua nama yang telah disebutkan secara rasmi adalah Liridon [Krasniqi] dan Guilherme [de Paula]. Selain daripada itu, mungkin ianya adalah spekulasi dan bukanlah kenyataan daripada FAM.

“Selain kriteria lima tahun menetap yang ditetapkan oleh FIFA iaitu pemain tersebut perlu beraksi di negara terbabit untuk tempoh lima tahun sebelum dinaturalisasikan, pihak kami juga menilai sama ada pemain tersebut mampu membantu skuad kebangsaan.

“Sebagai contoh, Michael Ijezie [bekas penyerang UKM FC] pernah berada dalam senarai tetapi kami tidak meneruskan proses kerana beliau tidak memenuhi aspek teknikal skuad kebangsaan,” jelasnya.

Bercakap mengenai status terkini Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya hanya menanti keputusan FIFA mengenai Guilherme de Paula yang dikatakan telah bermain beberapa bulan di Cyprus sebelum kembali ke Malaysia.

“Liridon akan mendapat pasportnya tidak lama lagi, tetapi untuk kes Guilherme pula, pihak kami sedang menanti respon daripada AFC atau FIFA kerana beliau telah bermain di Cyprus ketika dalam tempoh lima tahun bermain di Malaysia,” tambahnya lagi.

Keputusan mengenai proses naturalisasikan kedua-dua pemain tersebut dijangkakan akan diketahui dalam bulan ini.

Kredit Foto: FA Kedah