Stuart Ramalingam Balas Dakwaan Setiausaha Kehormat KFA

Stuart Ramalingam

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam tampil membidas dakwaan dilemparkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Yang Berhormat (YB) Asmirul Anuar Aris yang menganggap badan induk bola sepak tanah air itu tidak proaktif dalam membantu ahli gabungan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook FAM, Stuart beranggapan kenyataan Asmirul yang turut merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu adalah untuk menutup kesalahannya susulan kelewatan pembayaran gaji pemain Kedah.

”Terlebih dahulu ingin ditegaskan di sini bahawa FAM sentiasa berpegang dan berpendapat bahawa kebajikan pemain merupakan perkara pertama yang mahu dipertahankan iaitu mana-mana pasukan perlu terlebih dahulu menyelesaikan tunggakan gaji setakat bulan Mac 2020 sebelum mereka dibenarkan melakukan sebarang pemotongan gaji ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik COVID-19 ketika ini.”

”Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa pasukan-pasukan menghadapi masalah kewangan masing-masing tetapi ia merupakan situasi atau masalah di peringkat domestik yang mana mereka sendiri yang seharusnya bertanggungjawab dan tidak mengambil jalan mudah mengaitkan FAM dalam permasalahan tersebut.”

Menerusi kenyataan di laman facebook rasmi miliknya itu, YB Asmirul seolah mahu menyalahkan FAM dan MFL mengenai tunggakan gaji KFA dan memberi alasan bahawa pihaknya belum mengadakan perbincangan dengan para pemain Kedah disebabkan FAM dan badan pengendali Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) masih lagi belum menyediakan kata putus bilakah tarikh akan bermula kembali liga setelah bermesyuarat berkali-kali.

”Untuk makluman YB Asmirul, sebagai Setiausaha Kehormat KFA sudah tentu beliau telah menerima tiga surat pemakluman mengenai penangguhan disebabkan PKP ini dan satu surat pemakluman mengenai perancangan liga daripada pihak MFL, kesemuanya telah di-emel kepada setiausaha-setiausaha ahli gabungan dan kelab bertanding dalam Liga Malaysia 2020.”

”Jika YB Asmirul sendiri tidak pasti, surat pertama adalah bertarikh 17 Mac 2020 mengenai arahan PKP iaitu antaranya melarang sesi latihan dan perlawanan persahabatan diadakan disusuli surat kedua bertarikh 25 Mac 2020 bagi menyatakan arahan PKP telah dilanjutkan ke fasa kedua iaitu sehingga 14 April 2020.”

”Seterusnya surat ketiga bertarikh 5 April 2020 iaitu pemakluman mengenai perancangan MFL yang mana isi kandungannya menyatakan bahawa beberapa alternatif telah dibuat bagi meneruskan kalendar bola sepak musim 2020; perancangan kalendar pertandingan MFL 2020 yang mana makluman terperinci akan diberikan sebaik kerajaan mengumumkan penetapan tarikh akhir PKP; saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana MFL akan meneliti garis panduan yang akan dikeluarkan nanti; gesaan supaya pasukan dan pemain mengadakan perbincangan berhubung status kontrak; serta jaminan bahawa para penaja Liga Malaysia 2020 akan terus kekal memberikan komitmen masing-masing.”

”Sementara surat keempat pula bertarikh 10 April 2020 yang memaklumkan bahawa kerajaan telah melanjutkan PKP ke fasa ketiga iaitu sehingga 28 April 2020,” ujar Stuart Ramalingam.

”Jadi persoalannya di sini, adakah berasas dakwaan yang dinyatakan oleh YB Asmirul dalam kenyataannya itu atau beliau sendiri sebenarnya yang tidak meneliti atau memahami isi kandungan surat-surat yang telah pun di-emel kepadanya itu?”

”Kami di FAM dan juga di MFL pastinya akan bertindak segera sebaik saja kerajaan mengisytiharkan bahawa tempoh PKP sudah berakhir nanti untuk FAM dan MFL mengumumkan secara spesifik tarikh-tarikh pertandingan Liga Malaysia 2020 akan disambung semula.”

”FAM tidak mahu dilihat sebagai badan induk yang terburu-buru membuat sesuatu ketetapan terlalu awal kerana hal ini memerlukan perancangan teliti, perbincangan menyeluruh dan penelitian bersama banyak pihak supaya keputusan yang dibuat itu tidak diubah-ubah pula pada kemudian harinya, sekaligus nanti kredibiliti FAM pula yang akan dipersoalkan oleh YB Asmirul.”

”Selain itu, YB Asmirul sebagai Setiausaha Kehormat KFA sebenarnya mempunyai saluran yang lebih tepat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati beliau.”

”Malahan, kita juga mempunyai Whatsapp Group terdiri daripada setiausaha agung/kehormat setiap Ahli Gabungan FAM untuk berbincang dan bertanyakan sesuatu perkara yang mana saya tidak pasti sama ada YB Asmirul terlalu sibuk atau menganggap Whatsapp Group berkenaan tidak penting.”

”Akhir kata, kami di FAM sekali lagi berasa amat kesal dengan tuduhan dan dakwaan yang telah dilemparkan oleh YB Asmirul itu kerana ia hanya sekadar akan memberikan persepsi buruk umum kepada FAM, sedangkan apa yang dinyatakan beliau itu adalah tidak benar sama sekali,” jelas Stuart Ramalingam lagi.

Kredit foto: Astro Arena

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN