Statistik Menarik Takehiro Tomiyasu Sejak Menyertai Arsenal

Takehiro Tomiyasu tiba di Arsenal sebagai pemain yang kurang dikenali, namun kini berjaya mencuri tumpuan ramai bersama The Gunners.

Pemain pertahanan 22 tahun ini adalah sebahagian daripada bahagian pertahanan berwajah baharu yang cuba dibentuk oleh Arteta di Arsenal selain penjaga gol Aaron Ramsdale, bek kiri Tierney, dan dua bek tengah iaitu Gabriel dan Ben White.

Tiba dengan tanda harga £15.5 juta pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu sumbangan pemain antarabangsa Jepun ini bersama Arsenal setakat ini begitu mengujakan.

Kualiti milik Tomiyasu

Merupakan seorang bek kanan, Takehiro Tomiyasu juga berkemampuan untuk beraksi sebagai bek tengah sekiranya diperlukan.

Bukannya Arteta tidak mempunyai pemain lain di posisi sama sebelum ketibaan Tomiyasu. Tetapi pemain seperti Calum Chambers and Cedric Soares sebelum ini mengecewakan.

Sumber: Sofa Score. Statistik cemerlang Tomiyasu bersama Bologna pada musim lalu.

Stastistik Tomiyasu bersama Bologna pada musim lalu menjelaskan pemain itu tidak pernah melakukan kesilapan sehingga menyebabkan pasukan dibocori. Ia adalah aspek penting yang Arteta perlukan dalam membina kembali pasukan Arsenal.

Sejak 2017, Arsenal memiliki statistik yang menyatakan kekalahan berpunca dari mereka sendiri: kesilapan yang menyebabkan gawang dibolosi (35), paling banyak penalti dilepaskan (23), paling banyak kad merah (14, 9 ketika era Arteta).

Membawa masuk pemain seperti Tomiyasu bermakna Arteta berusaha untuk membentuk barisan pertahanan yang kurang melakukan kesilapan, sekaligus memberi lebih peluang untuk menang – walaupun dengan jaringan 1-0.

Berikut adalah antara statistik menarik pemain ini sejak penghijrahannya ke Premier League:

1. Sehingga kini Tomiyasu telah memenangi 14 dari 16 duel di udara. Ini bermakna bekas pemain Bologna ini telah menjadi pemain paling kerap memenangi perebutan bola di udara dari kalangan pemain Arsenal yang lain.

2. Bukan sahaja merupakan pemain paling dominan di udara untuk Arsenal, Tomiyasu juga merupakan antara pemain yang telah melengkapkan 10 perebutan bola tinggi dengan purata kejayaan 87.5%.

3. Sejak melakukan debut bersama Arsenal dalam perlawanan menentang Norwich City, Tomiyasu juga memenangi perebutan bola paling tinggi (permainan atas padang) dari kalangan pemain Arsenal.

4. Sepanjang tiga perlawanan yang telah dilalui setakat ini, beliau telah melakukan tiga hadangan (tackles) dengan jayanya, dua pintasan, 10 clearance, dan 129 hantaran.

5. Pemain berusia 22 tahun ini juga setakat ini masih gagal digelecek oleh mana-mana lawan. Musim masih lagi panjang, tetapi mampukah beliau memintas rekod pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk yang tidak pernah digelecek lawan pada musim 2018/19?

6. Tomiyasu menampilkan prestasi menakjubkan dalam derbi London, merekodkan 67 sentuhan lebih banyak, dan lapan recoveries lebih kerap daripada mana-mana pemain Arsenal sepanjang 90 minit perlawanan.

7. Tanpa Tomiyasu pada musim 2021/22, Arsenal tewas semua tiga perlawanan Premier League yang mereka tempuhi, dan dibolosi tiga gol untuk setiap perlawanan. Adanya Tomiyasu, skuad kendalian Mikel Arteta kini telah merekodkan tiga kemenangan berturut-turut dan hanya dibolosi pada kadar 0.33 kali untuk setiap 90 minit perlawanan.

Rumusan

Tidak dinafikan aksi Tomiyasu setakat ini amat mengujakan. Tidak salah untuk mengatakan Tomiyasu adalah pemain terbaik Arsenal pada hari ini.

Namun itu tidak bererti pemain ini sudah menjadi pemain yang lengkap. Ujian sebenar nanti adalah ketika Arsenal berhadapan dengan pasukan-pasukan utama di Premer League.

Antara aspek yang perlu ditambah baik oleh Tomiyasu ialah kemampuan melakukan larian serangan yang lebih berkesan, dan teknik hantaran yang boleh menghasilkan assist untuk pasukan.

Perkara positifnya adalah beliau baru berusia 22 tahun. Kini terpulang kepada Arteta dan Arsenal untuk menjadikan Takehoro Tomiyasu mencapai potensi yang sepatutnya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply