‘Statement’ Sterling Sanggup Tinggalkan Etihad Ibarat Isyarat Buat Kepada Newcastle United

Penyerang antarabangsa England, Raheem Sterling terbuka dengan idea meninggalkan Manchester City selepas gagal mendapatkan minit perlawanan sepatutnya di Etihad.

Sterling mendedahkan beliau tidak kisah meninggalkan Manchester City dan meninggalkan England untuk beraksi di luar negara.

Pemain antarabangsa England itu telah bersama City selama enam tahun, selepas berhijrah dari Liverpool dengan nilai perpindahan £50 juta pada musim panas 2015.

Pemain sayap lincah itu telah membantu skuad kendalian Pep Guardiola menjuarai tiga gelaran Premier League dan deretan trofi domestik yang lain, tetapi musim ini menyaksikan Sterling sukar mendapat tempat di dalam kesebelasan utama.

Isu itu mengundang spekulasi mengenai masa depan pemain berusia 26 tahun itu.

Akui mahu cabaran baharu?

Di dalam satu temuramah bersama Financial Times Business di New York, pemain itu dipetik sebagai berkata: “Sekiranya ada pilihan untuk pergi ke tempat lain demi perlawanan yang lebih banyak, maka saya terbuka dengan idea itu. Seperti yang saya katakan sebelum ini, bola sepak adalah perkara terpenting bagi saya.

“Cabaran [adalah perkara] yang telah saya tetatpkan untuk diri sejak usia muda dan begitu juga impian. Sebagai pemain Inggeris apa yang saya tahu ialah Premier League, dan saya selalu berfikir, mungkin suatu hari nanti saya juga mahu beraksi di luar negara. Dan lihat pula bagaimana saya berhadapan dengan cabaran tersebut.”

Ditanya bagaimana beliau berhadapan dengan minit perlawanan yang semakin berkurangan di Etihad sejak beberapa bulan yang lalu, Sterling berkata: “Saya bukan jenis pemain yang suka mengadu. Saya tidak suka perbesarkan isu. Saya berhadapan dengan perkara itu dengan bekerja lebih keras. Lakukan apa yang perlu saya lakukan. Dan saya terus bersemangat untuk bermain bola sepak secara kerap semula, menjaringkan gol secara kerap.

“Sejak kanak-kanak, bola sepak sentiasa menjadi perkara terutama dalam kehidupan saya. Dari bola sepaklah kegembiraan saya datang. Dan sudah tentu, keluarga dan bola sepak sentiasa ada tempat yang istimewa di dalam diri saya.

“Melalui bola sepak, maka adanya wang yang membenarkan anda melakukan pelbagai perkara baik. Dan akhirnya jika bola sepak itu tidak berada pada tahap yang sepatutnya, saya juga tidak gembira.

“Jika saya mahu diri gembira pada tahap tertentu, saya perlu bermain bola sepak. Saya perlu menjaringkan gol dan berseronok [bermain bola sepak].”

Pergelutan dan masa depan

Sebelum ini Sterling sentiasa menjadi pilihan di dalam kesebelasan utama Pep Guardiola, namun kini beliau hanya melakukan 16 permulaan dari 33 perlawanan di semua pertandingan sejak Februari lalu.

Malah tujuh penampilan dari 10 perlawanan Premier League terakhir Sterling bersama Man City adalah dari bangku pemain simpanan, dan setakat ini bekas pemain Liverpool itu hanya berjaya menyumbang satu gol dan satu assist.

Sterling tidak akan menghadapi kesukaran mencari pasukan baharu jika berniat meninggalkan Man City. Pemain itu sendiri sudah membuktikan dirinya sebagai kelompok pemain elit di eropah.

Barcelona dikatakan antara kelab yang mengikuti rapat perkembangan pemain tersebut. Namun masalah kewangan yang dihadapi kelab Catalan itu menyukarkan mereka melakukan bidaan. Selain itu Real Madrid turut dikatakan sebagai kelab yang berpotensi menjadi destinasi seterusnya untuk Sterling.

JIka mahu terus kekal di Premier League, Arsenal dan Newcastle dikatakan turut berminat mendapatkan pemain itu. Newcastle terutamanya pasti mampu menarik perhatian Sterling dengan projek baharu mereka selepas pengambilalihan oleh konsortium milik Arab Saudi.

Kenyataan terbaru oleh Sterling ini juga ibarat isyarat kepada kelab Tyneside itu untuk mendapatkannya.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply