Sri Lanka Pasang Impian Mahu Kejutkan Harimau Malaya

Nizam Packeer Ali Sri Lanka Malaysia Persahabatan

“Pasukan saya mempunyai banyak kejutan malah saya juga terkejut dengan cara mereka beraksi.” Itu adalah ungkapan pengendali Sri Lanka, Nizam Packeer Ali mengenai skuad kendaliannya menjelang aksi persahabatan menentang Malaysia, pada malam ini.

Ditemui media dalam sidang media pra perlawanan, pengendali yang juga merupakan bekas kapten mereka di era 1980-an itu berbangga dengan pencapaian anak buahnya ketika ini.

Mereka kembali beraksi di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia sejak kali terakhir pada 16 tahun lalu dan diletakkan bersama Korea Selatan, Korea Utara, Turkmenistan dan Lubnan di Kumpulan H.

“Layak beraksi di pusingan kedua kelayakan [Piala Dunia] adalah seperti bonus dan kami berhasrat untuk bertahan dengan bonus tersebut. Ketika menentang Turkmenistan, kami tewas disebabkan kesilapan-kesilapan kecil dan kemudian tewas 0-1 kepada Korea Utara, yang bagi kami, ianya adalah satu kemenangan.

“Kami memiliki ramai pemain muda yang telah bersedia,” ujarnya sambil menyatakan bagaimana skuadnya boleh mendahului aksi sehingga lebih setengah jam ketika menentang Malaysia pada Oktober tahun lalu – sebelum tewas 1-4 di Colombo.

Pada perlawanan tersebut, pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh berhasil meledak gol sulungnya buat Harimau Malaya dan menamatkan perlawanan dengan dua gol.

Sri Lanka Malaysia Persahabatan
FOTO: FAM

“Kami pernah menentang Malaysia sebelum ini dan ia merupakan satu pengalaman perlawanan yang hebat buat kami.

“Saya masih ingat bagaimana Sri Lanka mendahului perlawanan sehingga minit ke-65. Ia adalah satu pencapaian yang hebat bagi pemain-pemain muda kami yang kini sedang bersaing di kelayakan Piala Dunia,” jelasnya yang mula dilantik pada Mac 2018.

‘The Golden Lions’ melepasi pusingan pertama kelayakan selepas diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas Macau yang tidak hadir ke perlawanan timbal balik di Colombo. Sebelum itu, Sri Lanka tewas 0-1 dalam aksi pertama di Zhuhai, China.

“Ketika mengambil alih posisi ini bersama Sri Lanka, saya tahu Piala Dunia kami adalah SAC [Kejohanan SAFF]. Kami pernah dibelasah 10-0 oleh pasukan-pasukan seperti Maldives dan Bangladesh, tetapi kami sedang meningkat naik di sana.

“Kami hampir mengejutkan Maldives tetapi gol kami dibatalkan. Kamu tahu, kami terlepas saingan separuh akhir [kejohanan SAFF] hanya disebabkan lambungan syiling?” tambahnya lagi.

Kedua-dua pasukan akan turun dalam aksi pemanas badan sebelum aksi kelayakan bersambung semula minggu hadapan. Malaysia akan ke Hanoi bertemu Vietnam sementara Sri Lanka akan menentang skuad Piala Dunia, Korea Selatan.

Kredit Featured Image: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram