Speedy Tigers, Anda Buat Kami Semua Bangga! Giliran Anda Pula Harimau Malaya

Semalam skuad hoki Malaysia berentap dalam aksi final Piala Asia, di mana kita tewas tipis kepada India 2-1. Sebagai rekod, India adalah pasukan yang sedang berada di ranking ke-6 dunia dan no.1 di Asia ketika ini.

Malaysia pula berada di ranking ke-12 dan ke-2 di Asia buat masa ini.

Ketika ini, arena hoki Malaysia sentiasa dianaktirikan berbanding dengan bola sepak. Publisiti bola sepak jauh lebih meluas berbanding hoki. Wang pembangunan bola sepak jauh lebih banyak berbanding hoki. Malah populariti bola sepak juga tampak sukar digugat oleh hoki.

Tetapi sukan hoki negara kitalah paling kerap membuatkan rakyat Malaysia berasa bangga. Maka amat wajarlah jika kita memberi publisiti dan penghargaan kepada skuad hoki Malaysia atas pencapaian luar biasa mereka di peringkat dunia.

Sentuhan Van Huizen

Dalam kejohanan Piala Asia ini, skuad bimbingan Stephen van Huizen ini berjaya melangkah ke final dengan bergaya, melepasi peringkat Super Fours dengan menduduki tangga kedua.

1 menang 1 seri dan 1 kekalahan dicapai oleh The Speedy Tigers. Dengan kekalahan tersebut dicatat ketika menentang pasukan India, pasukan yang sama yang kemudiannya muncul juara.

Dalam kejohanan kali ini van Huizen mendapat perhatian yang luar daripada jurulatih lain kerana taktikal beliau.

Antara taktikal gila van Huizen adalah bermain tanpa penjaga gol – taktikal yang menjadi ketika menentang Korea Selatan.

Dalam aksi final semalam, beliau mengeluarkan S. Kumar untuk meramaikan lagi pemain padang. Segala usaha sudah dilakukan cuma gagal mendapatkan keputusan terbaik.

Pemain istimewa

Kejayaan individu yang manis untuk pemain yang patah gigi tempoh hari, Faizal Saari yang berjaya mendapat Anugerah Penjaring Terbanyak dan Anugerah Pemain Terbaik Kejohanan Piala Asia 2017.

Satu pencapaian luar biasa oleh pemain yang berjaya bangkit semula untuk berada di tahap terbaik dalam karier beliau.

Beliau pun seperti manusia yang lain, ada masanya buat silap. Tetapi Faizal Saari tidak melatah dengan kritikan, tidak perlu berperang dengan pengkritik. Beliau perbaiki diri dan fokus semula kepada matlamat utama beliau.

Selain daripada jurulatih yang istimewa, pemain yang istimewa itu perlu ada di dalam mana-mana pasukan yang hebat di dunia. Tidak kisah dalam sukan apa sekalipun.

Skuad yang mantap

Skuad Malaysia yang ada pada hari ini dianggap yang terbaik di dalam sejarah berdasarkan konsistensi mereka dalam  memberikan saingan dalam kejohanan yang besar.

Mereka terdiri daripada pemain muda yang bertenaga dan digabungkan dengan pemain lama yang sentiasa terbuka menerima perubahan dalam suasana hoki pada hari ini.

Adaptasi dan asimilasi semua pihak ini penting untuk memastikan skuad hoki Malaysia kompetitif dalam bersaing dengan skuad hoki di negara lain dalam suasana hari ini.

Progresif

Boleh dikatakan, skuad hoki Malaysia sentiasa progresif. Walaupun dalam beberapa ketika mereka gagal memberikan keputusan yang baik tetapi itu kita faham.

Di dalam sukan, ada kalanya lawan kita lebih baik dan ada kalanya pemain-pemain kita tidak berada dalam prestasi terbaik.

Tetapi secara keseluruhannya graf persembahan skuad Malaysia meningkat. Biar sahaja ranking dunia itu berbicara!

Pada awal 2017, Malaysia berjaya menamatkan saingan Liga Dunia di London di tangga ke-4. Sekaligus menempatkan Malaysia ke kejohanan Piala Dunia.

Malaysia mara ke final Piala Asia buat pertama kali di dalam sejarah mereka. Kejohanan ini mulai dipertandingkan pada 1982.

Ianya memperbaiki pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan yang sama pada 2007, dengan menduduki tempat ke-3.

Kualiti pasukan Malaysia ini membuatkan mereka menjadikan Sukan SEA yang lalu kejohanan pemanas badan.

Motivasi untuk pemain-pemain bola sepak

Diharap kejayaan skuad hoki Malaysia ini dapat dijadikan motivasi oleh pemain-pemain bola sepak kita.

Selepas kejayaan mara ke Piala Dunia, ramai pemain hoki yang meminta mereka dinaikkan pangkat dalam agensi tempat mereka bekerja berbanding dengan imbuhan berpuluh ribu.

Ini kerana mereka bekerja dalam sektor yang tidak menawarkan gaji puluhan ribu seperti pemain bola sepak profesional.

Dengan kenaikan pangkat itu, bolehlah mereka menikmati elaun pencen yang lebih besar suatu hari nanti.

Pada 2015, S. Kumar terpaksa pulang awal daripada kem hoki Malaysia kerana anaknya Harshenn yang berusia tiga tahun disahkan meninggalkan dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman dalam darah.

S. Kumar ketika itu sedang bermain dalam Liga Hoki Sedunia (HWL) dan berjuang untuk membantu skuad Malaysia mara ke Sukan Olimpik 2016.

Malaysia mara ke suku akhir dan berusaha untuk menjuarai liga tersebut untuk mara ke Rio secara merit.

Beliau memberikan sokongan kepada rakan sepasukan yang menggantikan tempatnya. Sayangnya impian skuad hoki Malaysia untuk ke Olimpik 2016 tidak kesampaian selepas tewas di tangan India.

Namun S.Kumar tidak pernah jemu berkhidmat untuk pasukan Malaysia. Jauh sekali mahu bersara. Bagi beliau, meletakkan lencana negara di dada beliau itu satu kebanggaan dan tanggunjawab yang besar.

S. Kumar terus komited dengan skuad hoki Malaysia selagi-lagi beliau diperlukan.

Pada semalam, skuad Hoki Malaysia berada di podium tertinggi dalam sejarah mereka dengan menduduki tangga ke-2 kejohanan Asia.

Lencana di dada!

Harus diakui, ini adalah generasi emas hoki Malaysia. Mereka terus berjuang walaupun tiada gaji berpuluh ribu masuk setiap bulan ataupun jutaan ringgit masuk dalam kontrak semusim.

Memang akan ada akan berkata, duit itu penting! Ya memang penting tetapi jika tiada kebanggaan atau rasa berjuang demi pasukan yang kamu wakili, ianya juga tidak akan memberikan apa-apa.

Jika Cristiano Ronaldo ataupun Messi hanya memikirkan wang, anda fikir mereka akan berjuang mati-matian demi pasukan Real Mardrid dan Barcelona ataupun Portugal dan Argentina.

Kami tahu, sukan hoki memang bukan sukan yang memiliki publisiti yang tinggi dan penajaan yang kurang. Tetapi artikel ini adalah untuk memberikan kata-kata motivasi kepada pemain bola sepak.

Agar mereka sedar bahawa mereka sudah berada dalam satu sukan yang lebih mewah dan serba-serbi lengkap daripada semua aspek. Memiliki liga semusim dengan banyak perlawanan.

Jika menang satu piala ada yang diberikan imbuhan sehingga RM100,000 dan juga tanah pun ada. Semoga anda terus berjuang demi nama Malaysia sama seperti sukan hoki.

Berjuang sahaja itu tidak cukup jika tidak meningkatkan kualiti individu yang seterusnya akan memberikan kulaiti kepada pasukan.

Penyokong bola sepak tidaklah terlalu fantasi mengharapkan anda bermain dalam Piala Dunia ataupun menjadi finalis Piala Asia dalam masa terdekat.

Cuma kami mahukan perubahan positif yang berterusan dalam padang. Cabar diri anda untuk membantu menaikkan nama bola sepak Malaysia di mata dunia.

Tahniah Speedy Tiger dan bangkitlah Harimau Malaya, Anda mampu!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN