Pengurus Southampton Anggap Pengadil Tidak Cukup Berani Di Anfield

Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl berpendapat pasukan kendaliannya sepatutnya diberikan sepakan penalti yang jelas selepas Danny Ings dikasari sejurus sebelum gol pembukaan Liverpool semalam.

Sebelum Alex Oxlade-Chamberlain berjaya memecah kebuntuan perlawanan untuk Liverpool menang 4-0, bekas penyerang Liverpool, Ings telah dijatuhkan di dalam kotak penalti selepas dikasari oleh Fabinho.

Pengadil bagaimanapun membenarkan perlawanan diteruskan, dan Hasenhuttl berpendapat keputusan perlawanan mungkin berubah sekiranya penalti itu diberikan.

“Anda memerlukan keputusan yang lebih berani daripada pengadil. Untuk [pengadil] berkata ‘tidak gol’ atau ‘penalti’, ia tidak akan berlaku [di Anfield],” kata Hasenhuttl.

“Pada separuh masa pertama ada hantaran ke belakang kepada penjaga gol [tiada foul diberi]. Itu satu lagi keputusan [besar].

“Mungkin itulah sebabnya ianya sukar untuk [pasukan pelawat] menang di sini.

“Ia adalah sangat jelas sepakan penalti dan dalam perlawanan sebegini, perlawanan mungkin boleh berubah arah memihak kepada pasukan kami.

“Jumlah jaringan tampak besar, tetapi sudah tentu saya mahu melihat bagaimana perlawanan ini boleh pergi jika kami sudah mendahului 1-0.”

Bagaimanapun pengurus dari Austria itu masih berpuas hati dengan pencapaian barisan pemainnya dalam perlawanan ini.

“[Menentang] pasukan terbaik dunia, dan untuk 50 minit [mereka] tidak mempunyai peluang terbuka. Kami pula memiliki peluang besar,” tambah pengurus Southampton itu lagi

“Cara kami bermain juga amat baik, dan saya berbangga [pemain] kekal dengan pelan permainan.

“Akhirnya Liverpool memperolehi kemenangan yang mereka layak perolehi, tetapi kami sudah beraksi sebaik mungkin dan saya amat berbangga.”

Kemenangan ke atas Southampton pada malam tadi bermakna Liverpool kini memiliki kelebihan 22 mata di puncak Liga Perdana Inggeris.


Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply