Son Heung-min Akui Begitu Menikmati Pengalaman ‘Khidmat Negara’

Son-Heung min

Tonggak utama Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengakui bahawa beliau benar-benar menikmati latihan ketenteraan asas yang disertainya di Korea Selatan pada April dan Mei lalu.

Latihan wajib selama tiga minggu itu berjaya diharungi dengan cemerlang oleh pemain berusia 27 tahun tersebut sehingga beliau dipilih sebagai lima pelatih terbaik dalam kalangan 157 orang keseluruhan.

Son dikecualikan daripada satu lagi latihan ketenteraan selama dua tahun yang menjadi kewajipan buat semua lelaki di negara asalnya setelah beliau berjaya membantu skuad Korea Selatan memenangi pingat emas dalam saingan Sukan Asia 2018 di Jakarta.

Sehubungan dengan itu, beliau hanya perlu untuk menjalani latihan selama tiga minggu dan juga terdapat baki 544 jam program khidmat komuniti dalam tempoh 34 bulan akan datang yang perlu dilengkapkannya.

”Ia [latihan ketenteraan asas] merupakan pengalaman yang cukup baik dan istimewa,” ujar Son memetik ciapan di Twitter rasmi Tottenham Hotspur.

”Saya tidak dapat untuk mengulas setiap perkara yang saya lakukan tetapi saya benar-benar menikmatinya. Tiga minggu tersebut adalah sangat sukar.”

”Pada hari pertama tiada seorang pun mengenali antara satu sama lain, jadi ia sedikit pelik tetapi selepas itu kami semua berkenalan. Anda perlu menikmati setiap hari bersama-sama, terdapat sepuluh orang dalam satu bilik jadi kami menjadi sangat rapat.”

”Kami bekerja bersama-sama, saling bantu membantu. Pada hari pertama mereka langsung tidak bercakap dengan saya tetapi pada akhirnya kami bergurau dan menikmati masa di sana bersama-sama,” tambah Son lagi.

Menurut laporan di Korea Selatan, Son berjaya mendapatkan markah penuh dalam penilaian kekuatan mental, latihan menembak dan juga memenangi anugerah Pilsung.

Kredit featured image: Republic of Korea Marine Corps via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Son Heung-min:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply