Solskjaer: Tak Seperti Zaman Ferguson, Kami Kini Sukar Untuk Juarai EPL

Solskjaer

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tanpa berselindung mengakui kelab tersebut jelas amat sukar untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kali terakhir The Red Devils melakukannya pada musim 2012/13.

Gelaran EPL ke-13 yang diraih itu juga merupakan penamat kisah kegemilangan Sir Alex Ferguson di Manchester United setelah beliau mengumumkan persaraannya pada penghujung musim tersebut.

Selepas itu, meskipun barisan pengendali sering bertukar ganti bermula dengan David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan yang terbaharu digalas oleh pengendali kelahiran Norway tersebut, United masih lagi ketandusan kejuaraan EPL dan terpaksa untuk terus menunggu.

Sehubungan dengan itu, Solskjaer melihat peluang untuk Manchester United memenangi gelaran liga pada ketika ini amat sukar berbanding sewaktu dikendalikan oleh pengurus legenda tersebut.

”Kami perlu bersikap jujur dengan mengatakan cabaran pada ketika ini lebih sukar,” ujar Solskjaer menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Kami sentiasa menghadapi cabaran, baik dari Arsenal, Chelsea, Liverpool. Tetapi sebahagian besar masa [zaman Alex Ferguson], hanya salah satu daripada mereka yang memberikan cabaran buat kami.”

”Menamatkan saingan di tempat ketiga bukanlah perkara yang normal. Pada ketika ini terdapat sekurang-kurangnya empat, mungkin lima pasukan yang boleh memenangi liga dan piala.”

Hanya tiga kejuaraan yang dimenangi pasca ‘pemerintahan’ Sir Alex Ferguson bagaimanapun sedikit mengubat kedukaan para penyokong apabila mereka berjaya memenangi Piala FA 2015/16 ketika di bawah bimbingan Van Gaal.

Manakala Mourinho telah menghadiahkan kejuaraan Liga Europa dan Piala Liga pada musim 2016/17.

Musim 2019/20 menyaksikan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu sedang menduduki tangga kelima selepas mengumpul 49 mata hasil 13 kemenangan, 10 keputusan seri dan lapan kekalahan yang dialami.

Kredit featured image: John Peters/Manchester United via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Manchester United:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply