Solskjaer Nasihati Jentera Serangan, Pelajari Sesuatu Daripada Cavani

Solskjaer Cavani

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji kualiti hebat dijelmakan tonggak berpengalaman, Edinson Cavani dengan mengatakan beliau merupakan antara penyerang tengah paling bijak pada ketika ini.

Sehubungan dengan perkara tersebut, Ole juga mahu pemain lain yang lebih muda di jentera serangan Manchester United supaya mempelajari sesuatu daripada kelebihan dimiliki pemain kelahiran Uruguay itu.

Meskipun beliau tidak berjaya menjaringkan gol ketika United mencatatkan kemenangan 3-2 bertemu Liverpool, Cavani memainkan peranan penting dalam memberikan tekanan buat barisan pertahanan skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Kekasaran yang dilakukan pertahanan Liverpool terhadapnya juga telah menghadiahkan sepakan percuma di mana Bruno Fernandes tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk meledakkan jaringan kemenangan pada minit ke-78.

Karisma dan kualiti yang ada pada Cavani membuatkan Solskjaer mahu pemain lain untuk menggunakan kesempatan dapat berada dalam satu pasukan dengannya bagi menimba ilmu bermanfaat dalam mengembangkan lagi karier mereka.

”Anthony [Martial], Marcus [Rashford], Dan [Daniel James], semua pemain barisan hadapan pasukan perlu menggunakan kesempatan waktu Edinson ada bersama kami dengan sebaik mungkin.”

”Mereka perlu untuk mempelajari tentang pergerakannya, anda perlu juga belajar mengenai sikap dan keinginannya untuk meraih kemenangan,” ujar Solskjaer menurut laporan Goal.

”Dia merupakan salah seorang penyerang tengah yang cukup rajin dan juga sangat bijak. Pergerakannya di dalam kawasan penalti sangat bagus. Anda boleh melihat bagaimana kualiti tandukannya. Jadi, mereka perlu menggunakan kesempatan ini untuk mempelajari sesuatu daripadanya.”

”Mereka perlu mempelajari darinya. Lihat kepada kecergasannya, dia akan berusia 34 tahun pada bulan hadapan, dan lihat cara dia menjaga dirinya [kecergasan] sendiri.”

”Apabila anda membawa masuk pemain yang lebih tua dan berpengalaman, anda turut membantu kesemua pemain lain. Ia tidak hanya datang ke sini untuk menjalankan tanggungjawabnya.”

”Dia tahu dia mempunya tugasan dan tanggungjawab sebagai model ikutan dan saya mengatakan kepadanya untuk melakukan perkara tersebut,” tambah Solskjaer lagi.

Kredit featured image: Michael Regan/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Ole Gunnar Solskjaer dan Edinson Cavani:

Ole Gunnar Solskjaer: Tiada Nama Besar Akan Direkrut

‘Bergurulah Dengan Cavani’ – Berbatov Nasihat Martial Tingkatkan Prestasi

Juan Mata: Lebih Banyak Jaringan Akan Diledakkan Oleh Edinson Cavani

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

One Comment

Leave a Reply