Solskjaer Perlu Lebih Tegas Dalam Selesaikan Masalah Sepakan Penalti Manchester United

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Marcus Rashford gagal menyudahkan sepakan penalti semasa kekalahan 2-1 Manchester United kepada Crystal Palace tempoh hari.

Kini muncul perdebatan pelbagai pihak terutama peminat Manchester United di seluruh dunia mengenai isu pengambil sepakan penalti pasukan itu.

Menurut pengulas Sky Sports, Gary Neville, beliau tiada masalah dengan sesiapa yang gagal menjaringkan penalti kerana tugasan itu sebenarnya sangat sukar dan penjaga gol pada hari ini amat tangkas kerana mereka mempelajari serta mengkaji pelbagai teknik.

“Tiada masalah apabila Paul Pogba terlepas peluang menjaringkan penalti pada Isnin lepas. Namun pertelingkahan (di antara Pogba dan Rashford) sebelum itu tidak baik untuk pasukan semasa di atas padang.”

“Kali ini giliran Rashford pula terlepas dan menjadikan keadaan semakin rumit. Perkara yang lebih teruk bukan mengenai penalti itu, tetapi mereka kalah di laman sendiri.”

Mark Ogden selaku penulis sukan berpengalaman di ESPN pula mengatakan, isu ini timbul disebabkan kelemahan mengurus oleh Solskjaer.

“Mungkin tidak adil untuk menyalahkan pengurus warga Norway itu di atas dua kegagalan tersebut, tetapi sepatutnya Solskjaer perlu bercakap pada Pogba, ‘Dengar, Rashford adalah pengambil sepakan penalti utama pasukan kita.”

“‘Sekiranya dia tiada di atas padang, kamu yang akan ambil tugasan itu tetapi jika ada, biarkan dia yang mengambilnya.’ dan ketegasan itu yang akan menangani masalah yang berlaku ini.”

“Namun apa yang berlaku, Solskjaer seolah-olah berpura-pura dengan mengatakan ‘saya gembira jika ianya (Pogba dan Rashford berkongsi tugasan sebagai mengambil penalti) berterusan’.”

“Saya cuma tertanya-tanya, apabila Rashford tampil untuk mengambil sepakan penalti malam itu, adakah dia sedar dengan perdebatan yang dibincangkan sepanjang minggu sama ada dia patut mengambil tugasan itu atau tidak. Dan malangnya dia terlepas (menjaringkan penalti).”

“Pada pendapat saya, selaku seorang pengurus di sebuah kelab besar, Ole perlu tampil lebih kuat.”

Isu ini berlaku selepas sepakan penalti Pogba diselamatkan Rui Patricio ketika aksi menentang Wolverhampton Wanderers.

Kritikan terus datang selepas Rashford gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Crystal Palace, yang barangkali jika disempurnakan keputusan akhir akan berbeza.

Jadi, kepada siapa tanggungjawab mengambil sepakan penalti perlu diberikan? Perlukah pemain lain pula diberikan tanggungjawab?