Soljabiru FC: Bagaimana Kelab Penyokong Chelsea Malaysia Lahirkan Kelab Bola Sepak Sendiri

Masa kini, penubuhan kelab bola sepak muncul dengan banyaknya ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Barangkali sudah bosan dengan pasukan bola sepak berasaskan negeri. Peminat bola sepak Malaysia mula memilih untuk menubuhkan kelab berasaskan bandar dan daerah yang ada di negara kita ini.

Namun, ada juga yang menubuhkan kelab berasaskan kelab penyokong kelab luar.

Baru-baru ini, saya sempat menemuramah Encik Ahmad Latifi yang merupakan ketua jurulatih kelab Soljabiru FC (Soljabiru).

Menariknya mengenai Soljabiru ini adalah mereka bermula daripada sebuah kelab penyokong kelab Chelsea yang aktif di laman sosial seperti Facebook.

Tapi bagaimana sebuah kelab penyokong kelab luar negara berevolusi menjadi sebuah kelab bola sepak?

Berikut merupakan hasil temuramah saya dengan Encik Ahmad Latifi.

SB: Boleh anda perkenalkan kepada umum siapakah sebenarnya Encik Ahmad Latifi?

Soljabiru: Saya merupakan ketua jurulatih untuk Soljabiru FC. Beliau sebelum ini mempunyai pengalaman bermain di Liga FAS bersama pasukan Subang Jaya.

Saya mempunyai sijil kejurulatihan kelas C dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Soljabiru FC merupakan pasukan pertama bimbingan saya. Sebelum ini saya merupakan pembantu jurulatih Al Falah FC; sebuah kelab dari Subang Jaya.

Saya juga merupakan penyokong Chelsea sejak tahun 2008.

SB: Kenapa tubuhkan Soljabiru?

Soljabiru: Kami sebenarnya bermula dengan sebuah kelab penyokong pasukan Chelsea. Kami mahu mengumpulkan sebanyak boleh penyokong Chelsea di Malaysia.

Selain aktif di laman sosial, kami juga aktif berfutsal dalam kalangan ahli kelab. Pada mulanya ada 14 orang pemain. Kini kami dah ada 140 orang pemain di Lembah Klang ketika ini.

Siri futsal yang pertama yang kami anjurkan adalah di Ampang pada tahun 2013. Selepas itu, barulah kami melakukan siri jelajah futsal ke seluruh negara.

Kami ada 10 divisyen penyokong Chelsea dan 1,400 orang ahli di seluruh Malaysia. 10 tempat tersebut adalah:

  • Kangar
  • Sungai Petani
  • Butterworth
  • Ipoh
  • Melaka
  • Kuantan
  • Subang Jaya
  • Kuala Lumpur
  • Putrajaya
  • Tawau

Cetusan menubuhkan pasukan bola sepak Soljabiru adalah hasil idea CEO kami iaitu Encik Yudi Wakiman.

Di awal penubuhan Soljabiru, kami cuma ada 14 pemain sahaja. Namun kini kami sudah punyai 140 pemain di kawasan Lembah Klang.

photo_2016-10-12_11-36-55

SB: Adakah pasukan Soljabiru mempunyai base sendiri untuk mendapatkan sokongan komuniti setempat?

Soljabiru: Tidak. Kerana kami jadikan penyokong Chelsea di seluruh Malaysia sebagai fanbase kami.

Namun begitu, buat masa sekarang kami jadi padang di Chelsea Soccer School yang terletak di Damansara Damai sebagai home kami.

Kami memperoleh akses sedemikian kerana kami merupakan kelab penyokong Chelsea yang berdaftar ataupun verified oleh kelab Chelsea sendiri di London.

SB: Apakah falsafah bola sepak Soljabiru? Adakah Soljabiru akan mengikut falsafah bola sepak Chelsea?

Soljabiru: Tidak, kami tidak dibayangi dengan falsafah bola sepak Chelsea kerana kami mempunyai falsafah bola sepak kami sendiri.

Oleh kerana kami merupakan sebuah pasukan amatur jadi amat sukar untuk kami berlatih dan menerapkan corak permainan Chelsea dalam permainan kami.

Buat masa sekarang kami cuma berlatih sebanyak 1 ke 2 kali seminggu pada waktu malam kerana kekangan masa yang dihadapi oleh para pemain.

Namun selepas ini sesi latihan akan digandakan kepada 3 ke 4 minggu pada waktu malam dan 3 kali sesi latihan pada waktu petang.

photo_2016-10-12_11-39-34

SB: Apakah pelan Soljabiru untuk 5 tahun akan datang?

Soljabiru: Soljabiru akan bermula dengan beraksi dalam Liga FAS pada bulan Disember ini. Selain daripada itu kami mahu menubuhkan beberapa pasukan lain yang boleh beraksi di liga sosial yang lain.

Dalam masa 5 tahun kami membayangkan pasukan kami akan beraksi di dalam Piala FAM.

Dalam masa yang sama, kami mahu tubuhkan pasukan semi-veteran kerana kami mendapati ramai ahli kelab kami berusia 30 tahun ke atas.

Kami juga mensasarkan dalam 5 tahun akan datang kami mampu membuka akademi akar umbi diberi nama sebagai “Akademi Solja Biru”. Di akademi tersebut kami akan melatih kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.

Kami berbuat demikian kerana staf sokongan untuk skuad kami merupakan staf-staf yang berkaliber. Jurulatih-jurulatih yang ada di Soljabiru merupakan jurulatih-jurulatih yang berlesen.

SB: Adakah pemain Soljabiru mesti seorang peminat Chelsea?

Soljabiru: Tidak semestinya. Buat masa ini kami lebih utamakan peminat Chelsea untuk menjadi pemain pasukan kami.

SB: Ini merupakan soalan terakhir. Apakah gelaran & slogan untuk Soljabiru?

Soljabiru: Buat masa ini kami tiada lagi gelaran untuk pasukan kami. Kami hanya gunakan nama Soljabiru sahaja.

Slogan kami adalah “We Play For Passion” (Kami Main Kerana Minat).

photo_2016-10-12_11-35-54

Kesimpulan

Soljabiru FC mungkin berbeza tujuan penubuhannya berbanding kelab seperti Terengganu City FC yang kecewa dengan kegagalan bola sepak Terengganu.

Tetapi penubuhan Soljabiru FC ini tepat pada waktunya kerana disaat ini peminat bola sepak di seluruh Malaysia dahagakan perubahan dan mereka sering rasakan bola sepak berasaskan negeri ini sudah tidak lagi relevan.

Apa-apa pun, semoga berjaya untuk Soljabiru FC. Semoga menjadi salah satu pasukan yang berjaya di Malaysia!

Baca juga: Terengganu City FC: Kelab Bola Sepak Cetusan Penyokong Yang Mahukan Perubahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram