Slot Ke Liga Juara-Juara Asia Atau Piala AFC Jadi Sasaran Selangor Musim Depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Selepas berjaya mendapatkan beberapa pemain baharu yang mempunyai profil yang cukup menarik, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kini menyasarkan untuk mengakhiri kempen Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan di kedudukan terbaik dan membolehkan mereka layak ke saingan peringkat Asia pada tahun 2021.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon ketika ditemubual Bernama menjelaskan, sasaran itu realistik memandangkan pihak pengurusan skuad Red Giants kini telah merancang beberapa strategi utama bagi mengatasi segala kelemahan yang dihadapi pasukan itu pada musim ini.

Oleh yang demikian, pasukan Selangor ternyata lebih bersedia untuk menghadapi musim baharu berbekalkan enam pemain baharu serta pemain utama yang dikekalkan bagi melayakkan mereka ke saingan Liga Juara-Juara Asia mahupun Piala AFC.

“Tahun ini kita menandatangani pemain yang strategik untuk mengatasi aspek kelemahan pasukan. Kita sahut cabaran penyokong.

“Dengan kekuatan pasukan sedia ada ditambah enam pemain baharu yang mempunyai kehebatan dan keupayaan tersendiri, kita lihat skuad Selangor kini lebih lengkap,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan pemain Selangor 2020 yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, B. Satiananthan yang ditemui turut menyatakan keyakinan untuk mencapai sasaran yang diberikan pihak pengurusan FAS itu memandangkan beliau telah pun diberikan pemain baharu yang berkaliber.

Posted by Majlis Bandaraya Shah Alam on Friday, December 13, 2019

“Sebagai jurulatih, saya sahut sasaran itu. Ia dilihat realistik di bawah pengurusan (FAS) yang baharu. Daripada pengalaman saya pada musim lepas, tiada pasukan yang dikatakan lemah. Prestasi sama dan saya rasa sasaran itu tepat pada masanya,” katanya.

Enam pemain baharu yang telah sah menyertai Selangor adalah pemain import Singapura, Muhammad Safuwan Baharudin, jeneral tengah skuad Harimau Malaya, Brendan Gan, bekas pemain Perak, Nor Hakim Hassan, pemain kelahiran Manchester, Nicholas Ryan Swirad, pemain Sarawak berdarah Ghana, Rodney Celvin Akwensivie dan bekas penjaga gol PKNS, Tauffiq Ar-Rasyid.

Hari Bola Sepak Selangor yang diadakan di Stadium Shah Alam pada hari ini dirasmikan oleh Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Posted by Majlis Bandaraya Shah Alam on Friday, December 13, 2019

Dalam musim penuh pertama Selangor di bawah pimpinan baharu pada tahun ini, mereka menamatkan saingan Liga-M dengan menduduki tangga ketiga Liga Super dan mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.