Skuad Lim Teong Kim Tidak Sabar Hadapi Kejohanan AFC B-16

Iklan

Pasukan bawah 16 tahun negara dibawah kendalian Lim Teong Kim sedia melakar kejutan dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula Khamis depan.

Menurut Teong Kim, persiapan untuk menghadapi kejohanan itu berjalan lancar dan anak buahnya tidak sabar untuk memulakan perlawanan pertama.

FOTO: FAM

“Persiapan kita berjalan lancar dan baik. Barisan pemain berada dalam keadaan baik dan mereka sudah tidak sabar untuk menghadapi kejohanan itu.

“Namun dengan persiapan kali ini, saya yakin pemain mampu menyaingi dan memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan yang akan dihadapi nanti.

“Pada saya, jika kita dapat elak melakukan kesilapan mudah seperti ketika perlawanan dengan Korea Selatan (aksi persahabatan), saya rasa kita boleh pergi jauh dalam kejohanan AFC nanti,” katanya kepada Berita Harian

Kesebelasan utama skuad bawah 16 tahun negara ketika aksi persahabatan menentang Korea Selatan. FOTO: FAM

Dalam kejohanan itu, Malaysia selaku tuan rumah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Jepun, Tajikistan dan Thailand. Mereka akan membuka tirai berdepan Tajikistan pada Khamis depan sebelum bertemu Thailand dan Jepun.

Semua perlawanan membabitkan pasukan negara berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan skuad ini meletakkan sasaran untuk layak ke separuh akhir yang menjanjikan tiket automatik ke Piala Dunia Remaja di Peru tahun depan.

Ditanya mengenai aksi pertama menentang Tajikistan, Teong Kim mahu pemainnya memastikan tiga mata penuh mampu diraih andai berhasrat untuk melangkah lebih jauh.

“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk mendapatkan kemenangan dalam perlawanan pertama itu, tambahan pula kita tidak pernah bertemu sebelum ini.

“Namun berdasarkan video analisis perlawanan mereka di peringkat kelayakan AFC tempoh hari, saya yakin kita boleh melepasi halangan dengan syarat pemain perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang,” katanya.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah ketika di bawah bimbingan S Balachandran pada saingan 2014 di Bangkok, Thailand apabila pasukan mara hingga ke suku akhir sebelum tewas tipis 1-2 kepada Australia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram