Skuad Futsal Negara Uji Kekuatan Di China

Futsal Negara

Pasukan futsal negara sekali lagi terbang ke China [Changsu City] sebagai persiapan sebelum sepak mula Kejuaraan Futsal AFF 2019 yang bakal berlangsung di Ho Chi Minh City pada 21 Oktober ini.

Skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu akan menghadapi ‘CFA International Futsal Tournament 2019’ yang menampilkan China selaku tuan rumah bersama-sama Maghribi dan Denmark.

Pada bulan lalu, skuad negara berjaya menjuarai  ‘The Belt and Road Cup CFA International Futsal Tournament 2019’ yang turut berlangsung di Changsu City selepas mencatatkan kemenangan 9-2 keatas Mexico. Dua lagi aksi bertemu China dan Myanmar berakhir dengan keputusan seri 4-4 dan 2-2.

Sekiranya bersandarkan kepada ranking keempat-empat negara yang bertanding pada kejohanan jemputan ini, Maghribi dilihat sebagai pasukan pilihan apabila menduduki tangga ke-35 dunia. Malaysia pula ditangga ke-54 manakala Denmark dan China pada kedudukan ke-68 dan 69.

Namun, itu tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk jelas kerana Malaysia sendiri pernah menang bergaya berdepan lawan yang mempunyai ranking yang lebih baik iaitu Mexico [47].

Dalam perkembangan yang sama, Chun Yong terpaksa melupakan khidmat ketua pasukan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin buat seketika kerana pemain berpengalaman itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami ketika di China tempoh hari.

Seramai 16 pemain telah dibawa ke China bagi persiapan tersebut dengan Muhammad Awalluddin Hasan [Melaka United], Muhammad Shamsul Akmar Zamri [Selangor] dan Muhammad Farikh Khabibor Rahman [Perak] kembali diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan sebelum senarai pemain ke Vietnam diumumkan nanti.

Kredit foto: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram