Simon Kjaer Adalah Bukti Pentingnya Pemimpin Hebat Dalam Pasukan

Simon Kjaer Eriksen

Tindakan pantas kapten Denmark, Simon Kjaer telah menyelamatkan nyawa rakan sepasukannya Christian Eriksen yang rebah secara tiba-tiba ketika aksi Euro 2020 menentang Finland.

Dengan tiada seorang pun pemain yang berdekatannya, pemain berusia 29 tahun itu secara tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika penghujung babak pertama dipercayai kerana serangan jantung.

Ketika suasana panik, Kjaer dari bahagian pertahanan berlari ke tempat kejadian dan segera memeriksa bahagian leher serta lidah Eriksen supaya ruang pernafasannya dalam keadaan normal.

Beliau kemudian sempat memberikan bantuan CPR kepada pemain tengah Inter Milan itu sebelum petugas perubatan tiba untuk memberi rawatan.

Pemain pertahanan AC Milan itu bersama penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel kemudian menenangkan isteri Eriksen, Sabrina sementara pemain-pemain Denmark lain pula membentuk benteng bagi mengelilingi rakannya yang sedang menerima rawatan.

Semua tindakan serta reaksi Kjaer itu mendapat pujian oleh peminat bola sepak di seluruh dunia selepas beliau mempamerkan sifat kepimpinan dan mentaliti yang luar biasa tidak kira sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Persatuan Bola Sepak Denmark telah mengesahkan Eriksen yang berada di hospital kini sedar bersedia untuk menjalani ujian dan pemeriksaan lanjut oleh pakar.

“Christian Eriksen dalam keadaan sedar dan stabil. Dia masih dirawat di hospital di Rigshospitalet untuk pemeriksaan lanjut.”

Sementara itu, ejen Eriksen, Martin Schoot pula memberi makluman bahawa pemain tengah itu menunjukkan perkembangan yang baik.

“Saya baru sahaja bercakap dengan bapa Christian dan dimaklumkan dia sudah boleh bernafas dengan baik dan bercakap,” ujar Schoots.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan Euro 2020:

“Chris, Saya Sayang Kamu!!!”- Dua Gol Lukaku Bantu Belgium Benam Rusia

Euro 2020: Pertemuan Denmark VS Finland Ditangguh Selepas Christian Eriksen Rebah Tidak Sedarkan Diri

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply