Diego Simeone: Spekulasi Jan Oblak Ke Chelsea Tidak Memeranjatkan

Jan Oblak

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui beliau tidak terkejut dengan spekulasi melibatkan penjaga gol utamanya, Jan Oblak yang dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea.

Chelsea yang berdepan masalah di posisi tersebut dikatakan berminat untuk membawa masuk penjaga gol kelahiran Slovenia bagi menggantikan penjaga gol yang sering menjadi kritikan penyokong The Blues, Kepa Arrizabalaga.

Oblak nyata memiliki reputasi yang cukup gah pada ketika ini apabila beliau telah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik saingan La Liga bagi empat musim berturut-turut bermula 2015/16.

Musim ini juga menyaksikan beliau terus mempamerkan kecemerlangannya apabila hanya dibolosi 26 gol daripada 36 penampilan dalam saingan liga.

Sehubungan dengan itu, Simeone melihat tiada apa yang mengejutkannya berhubung spekulasi terbaharu itu tetapi beliau tetap mengharapkan Oblak dapat terus bersama Atletico Madrid di Wanda Metropolitano.

”Ia tidak mengejutkan saya, setiap tahun akan ada pemain utama kami yang diinginkan oleh kelab terbaik di dunia,” ujar pengendali berusia 50 tahun itu menurut laporan Goal.

”Adalah menjadi kebiasaan untuk mencari yang terbaik dan kami memiliki ramai [pemain terbaik]. Ada yang sudah meninggalkan pasukan dan selainnya masih di sini.”

”Adalah logik dan normal apabila semua orang mahu mendapatkan khidmat Oblak. Dia merupakan ketua pasukan dan pemain penting buat kami. Saya harap kami dapat bergantung kepadanya, yang mana sangat besar bagi kami.”

Dalam perkembangan sama, Chelsea dilaporkan tiada masalah untuk menjadikan Kepa Arrizabalaga sebagai pertukaran bagi mendapatkan khidmat Oblak.

Kepa yang merupakan penjaga gol termahal dunia [£71.6 juta] ketika Chelsea membawa masuk beliau dari Athletic Bilbao, telah dibolosi sebanyak 42 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dan hanya berjaya mencatatkan lapan ‘clean sheets’.

Kredit featured image: Denis Doyle/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Jan Oblak:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply