Sikap Pengotor Penyokong Liverpool Diselar Warga UK

Liverpool Anfield

Warga United Kingdom (UK) mengutuk sikap pengotor penyokong Liverpool yang meninggalkan sampah di jalanan selepas menyambut kejayaan pasukan mereka menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) di sekitar Stadium Anfield.

Tinjauan yang dilakukan oleh seorang pengguna jalanraya sekitar jam enam pagi mendapati sampah sarap terutamanya bekas makanan dan minuman dibiarkan bersepah di kawasan tersebut.

Tindakan tidak bertamadun itu jelas tidak menggambarkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga nilai pasukan yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara liga buat kali pertama selepas penantian selama 30 tahun.

Respon di media sosial juga mendapati rata-rata warga negara itu tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut ketika UK sedang berdepan dengan penularan wabak yang serius.

“Sangat pengotor. Ini bukan budaya di Britain. Saya tak faham kenapa mereka tidak rasa bersalah biarkan bandar yang cantik ini dikotorkan. Bawa baliklah sampah itu ke rumah kamu!” ujar seorang pengguna media sosial.

Keadaan tersebut memaksa Majlis Perbandaran Liverpool menghantar lori dan pekerja pembersihan untuk membersihkan kawasan berkenaa dan memberi pesanan supaya penyokong membuang sampah di tempat yang sepatutnya atau membawa pulang ke rumah masing-masing.

“Kita masih boleh menikmati saat indah ini dengan menghormati kebersihan bandar yang kita duduki ini. Tolong buang sampah ke dalam tong atau bawanya pulang!” ujar pihak perbandaran tersebut dalam ciapannya di Twitter.

Tindakan penyokong Liverpool berkumpul di sekitar Anfield juga ternyata tidak disenangi dan mendapat kecaman pelbagai pihak yang bimbang dengan penularan wabak di mana UK merupakan salah satu negara yang mencatatkan jangkitan dan kematian yang tinggi.

Statistik terkini menunjukkan UK merupakan negara kelima tertinggi di dunia dengan mencatatkan 309,360 kes positif dan 43,414 kematian. Jumlah kes baharu pada Jumaat adalah sebanyak 1,380.

Kredit Foto: The Way I See Liverpool

Baca juga artikela kami yang lain mengenai Liverpool:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply