Signifikasi Kejuaraan Piala FA Buat Mikel Arteta & Arsenal

mikel_arteta_manager_of_arsenal-piala-FA

Arsenal akan bertemu Chelsea bagi penentuan kejuaraan Piala FA dan Mikel Arteta dilihat sangat memerlukan kejuaraan tersebut pada lewat malam nanti.

Terdapat beberapa isu yang akan mampu membantunya jika Arsenal menjuarai Piala FA, namun tekanan ini sudah tentu sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat Chelsea untuk menjulang trofi tersebut buat kali ke-9 tanpa sebarang masalah.

Chelsea tenang, Arsenal terdesak

Chelsea turun tanpa sebarang tekanan, kerana mereka sudah layak ke Champions League selepas menamatkan musim di kedudukan ke-4 Premier League. Ia adalah musim yang baik buat mereka walaupun memiliki pilihan pemain yang terhad.

Kejuaraan ini bagi mereka adalah petanda bahawa skuad Frank Lampard musim ini wajar diberikan perhatian untuk saingan musim hadapan yang bakal ditambah dengan kehadiran beberapa bintang terutamanya Hakim Ziyech dan Timo Werner.

Sementara buat The Gunners pula, kejuaraan ini mungkin adalah penyelamat kepada musim suram mereka. Mereka berada di kedudukan ke-8 liga, terburuk di era Premier League sejak kali terakhir pada musim 1994/95 – di kedudukan ke-12.

Alexandre Lacazette bercakap kepada BBC, “Ia musim yang sukar, mungkin paling sukar sepanjang karier saya. Tetapi saya telah banyak belajar daripadanya. Piala FA sangat bermakna [buat kami]. Saya datang ke Arsenal untuk memenangi trofi.”

Boleh bantu kekalkan Aubameyang

Sebagaimana kata Lacazette, beliau datang ke Arsenal untuk memenangi trofi. Begitu juga pemain lain. Kali terakhir Arsenal menjulang trofi adalah pada musim 2016/17 iaitu Piala FA, selain pingat Community Shield yang diraih musim berikutnya.

Menurut pengendali, Mikel Arteta, kejuaraan Piala FA kali ini juga penentu masa depan penyerang dan juga kapten pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang. Kontraknya bakal tamat pada Jun 2021 dan sehingga kini, beliau masih belum membuat keputusan.

“Sudah semestinya. Memenangi trofi akan membantu faktor kepercayaan dan juga perasaan anda. Jika anda memakai lilitan armband dan dapat menjulang kejuaraan tersebut, perasaannya sukar untuk diluahkan. Ianya sangat membantu,” jelas Arteta.

Bercakap mengenai kerisauannya yang final Piala FA adalah mungkin aksi terakhir Aubameyang, Arteta pantas menafikannya kerana baginya setakat ini segala proses perbincangan nampak sangat positif. “Tidak, saya langsung tidak risau mengenainya.”

Tingkatkan mentaliti

Selain itu, sejak mengambil alih tampuk pengurusan pasukan daripada Unai Emery, tugas Arteta jelas adalah untuk meningkatkan kualiti mentaliti para pemain Arsenal. Beliau adalah imej baharu yang cuba diserap masuk ke skuad The Gunners.

Semua tahu bagaimana Arsenal dan masalah tunggal Arsenal sejak bertahun lamanya. Di bawah kendalian Arsene Wenger, semua merasakan yang beliau seakan-akan hanya mahukan pemainnya untuk mendominasi permainan tanpa meraih kejuaraan.

Setiap kali Arsenal menemui kegagalan ataupun menghadapi kekalahan, hanya akan ada dua pemain Wenger yang akan melalui sidang media iaitu pertahanan, Per Mertesacker dan juga Arteta. Mentaliti kuat kedua-dua pemain ini terserlah.

Dengan bimbingan Pep Guardiola selaku mentornya sebagai seorang jurulatih, Arteta berkembang menjadi salah seorang pengendali yang dihormati. Mental yang kuat dan mempunyai falsafah permainan, beliau dilihat mampu membawa Arsenal yang baharu.

Dana tambahan buat The Gunners

Selain itu, Arsenal perlukan kejuaraan Piala FA sebagai pintu masuk mereka untuk ke saingan Eropah. Ini satu-satunya pintu masuk yang tinggal buat Arteta selepas musim yang suram di Emirates. Ia lebih buruk jika Arsenal gagal tewaskan Chelsea.

Menurutnya, beraksi di saingan Eropah adalah wajib buat kelab seperti Arsenal dan tentunya hasil daripada penyertaan di Europa League mampu meningkatkan dana buat mereka. Kata Arteta, “Dari sudut kewangan, ia pastinya sangat membantu.”

“Jelas sekali, kelab seperti Arsenal wajib berada di saingan Eropah. Kita berpeluang untuk mendapatkan kedua-duanya [layak ke Eropah dan tambah dana],” tambahnya.

Dana untuk mendapatkan pemain baharu untuk kukuhkan pasukan adalah perkara yang penting buat dirinya. Jendela perpindahan selepas COVID-19 adalah penuh tekanan dan sukar. Jadi, jika raih trofi Piala FA, ianya akan sangat membantu Arteta.

Penutup

Arteta sudah berulang kali menyatakan yang skuadnya memerlukan tambah nilai. Beliau memerlukan pemain bermentaliti seperti Kieran Tierney dan Dani Ceballos, yang berjaya membuat perubahan kepada mentaliti dan permainan mereka.

Arsenal terdesak untuk meraih kejuaraan Piala FA. Ia akan menjadi musim terburuk buat mereka jika Arsenal tewas kepada Chelsea dan terlepas ke saingan Eropah.

KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES

Baca lagi artikel mengenai Mikel Arteta dan Arsenal:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN