Siapa Paling Layak Digelar Pemain Terbaik Bulanan Liga Super PFAM-ASIANA.MY (Mac 2021)

Seperti dijangka saingan Liga Super pada musim ini tampil dengan aksi-aksi menarik pasukan-pasukan bertanding.. Beberapa pasukan tampil garang pada awal musim, dalam empat sehingga lima perlawanan pertama yang dilangsungkan sepanjang bulan Mac lalu.

Beberapa pemain turut menyerlahkan kemampuan mereka dalam mengemudi pasukan masing-masing. Berikut adalah lima pemain yang dianggap terbaik dan dicalonkan untuk Anugerah Pemain Terbaik Bulanan (Mac) PFAM-ASIANA.MY.

Al-Hafiz Harun (Penang FC)

Jika ada pemain dari Penang FC yang perlu diangkat sebagai wira, maka nama Al-Hafiz Harun harus berada di dalam senarai tersebut. Pemain berusia 26 tahun ini menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan sepanjang lima perlawanan yang dilalui sepanjang Mac lalu.

Aset utama beliau ialah kemahiran menggelecek disertai kawalan bola rapi untuk menewaskan pemain pertahanan lawan, dan keupayaan beliau untuk mencipta peluang kepada rakan penyerang menjaringkan gol.

Sepanjang Mac, Al-Hafiz telah menjaringkan satu gol dan menghasilan dua assists untuk skuad Harimau Kumbang. Kami pasti pemain ini akan menampilkan lebih banyak aksi menarik pada bulan-bulan mendatang.

Makan Konate (Terengganu FC)

Merupakan pemain tengah, dan lebih dikenali sebagai pakar assist, pemain import Terengganu FC nyata duri dalam daging buat pasukan lawan sepanjang Mac lalu dengan kepakarannya.

Konate merupakan Raja Assist untuk lima perlawanan pertama. Daripada 9 gol (kedua terbanyak di liga) dihasilkan Terengganu FC sepanjang Mac, Makan Konate membuat 4 assist membantu Terengganu FC berada di kedudukan ke-2 Liga Super. Ia statistik yang wajar dibanggakan.

Arif Aiman Hanafi (JDT)

Musim lalu, Arid Aiman Hanafi hanya berpeluang diturunkan dalam dua perlawanan skuad utama JDT. Tetapi pemain berusia 18 tahun ini mendapat lebih banyak kepercayaan dari Benjamin Mora pada musim ini apabila tampil dalam semua lima perlawanan membabitkan JDT sepanjang Mac.

Gol sulung Arif Aiman pada musim ini muncul ketika berhadapan UiTM FC. Kehadiran Arif Aiman di posisi sayap kanan menyebabkan ketiadaan Safawi Rasid akibat kecederaan tidak dirasai langsung. Di sebalik usia yang muda Arif Aiman kelihatan tidak gentar beraksi berhadapan pemain yang lebih berpengalaman, dan kerap memberikan masalah kepada lawan dengan kelincahan dan kepintaran di atas padang.

Darren Lok (PJ City FC)

Perpindahan dari JDT II ke PJ City FC ibarat memberi nafas baharu kepada pemain ini. Tatkala tumpuan senarai penjaring terbanyak sepanjang Mac lebih banyak dihiasi nama pemain-pemain import, Darren Lok membuktikan kemampuannya untuk berdiri sama tinggi di dalam senarai tersebut.

Dari empat perlawanan yang dilalui bersama PJ City, Darren Lok telah menjaringkan empat gol, menjadikan beliau sebagai penyerang tempatan terbaik di dalam senarai penjaring.

Samuel Jacob Sommerville (Penang FC)

Musim ini merupakan penampilan sulung Samuel Sommerville dalam saingan Liga Super bersama Penang FC. Penjaga gol itu nyata tidak mengecewakan apabila menampilkan  kecemerlang di gawang dengan ketangkasannya.

Daripada lima penampilan sepanjang bulan Mac lalu, beliau merekodkan 3 cleensheet, bolos 3 (terbaik di liga bersama Farizal Marlias di JDT). Tidak dapat dinafikan ketangkasan Samuel Sommerville di hadapan gawang antara penyebab Penang FC berada di kelompok atasan Liga Super selepas tamat bulan Mac.

Penutup

Siapakah di antara kelima-lima pemain yang akan bergelar pemain terbaik bulanan Liga Super PFAM-ASIANA.MY bagi bulan Mac. Semuanya berada di dalam tangan anda untuk menentukannya.

Sila pilih pemain terbaik pilihan anda dengan mengundi melalui pautan: https://pfam.my/poll/potmlsmac2021/. Undian dibuka sehingga 29 April ini. Selamat mengundi!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN