Persaingan Ifedayo vs Bergson, Siapakah Yang Akan Kecundang Kerana Tekanan?

Bergson Ifedayo Kasut Emas 2021

Walaupun tiada siapa mengakui mereka idamkan gelaran Kasut Emas Liga Super 2021, Bergson da Silva dan Ifedayo Olusegun dilihat saling mengejar antara mereka menuju ke penghujung saingan liga.

Jika musim lalu, Ifedayo Olusegun yang meraih anugerah Kasut Emas dengan 12 jaringan telah disaingi hebat penyerang Perak FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, kini giliran Bergson muncul sebagai pencabarnya.

Persaingan antara kedua-dua penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC itu dilihat rancak walaupun juara Liga Super sudah diketahui, apabila mereka saling bertukar tangan sebagai pendahulu.

Namun, dalam aksi minggu lalu, Ifedayo Olusegun gagal untuk meledak sebarang gol selepas konsisten dalam lima perlawanan. Selangor telah diikat dengan keputusan seri 1-1 menentang Melaka United.

Adakah Ifedayo Olusegun berada dalam tekanan untuk muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super? Jika dilihat musim lalu, beliau tenang walaupun dicabar sengit Shahrel Fikri yang kini rakan sepasukan.

Sementara Bergson pula berhasil mencipta hatrik kedua peribadinya apabila membantu JDT menang ke atas Sri Pahang 3-0. Hatrik pertamanya adalah ketika menewaskan Perak FC 5-0 pada Julai lalu.

Kali terakhir Bergson tidak meledak gol adalah pada April lalu ketika terikat 1-1 menentang KL City FC dan beliau konsisten mencetak gol dalam sembilan aksi berturut-turut. Sesuatu yang menakjubkan.

Sedikit mengecewakan, sentuhan ajaibnya di liga tidak dibawa ke saingan AFC Champions League (ACL) pada Jun lalu yang menyaksikan JDT hanya meledak tiga gol dan beliau gagal secara ‘total’.

Persaingan antara kedua-dua pemain import ini sangat mengujakan bagi kancah Liga Super musim ini.

Saat ini, Bergson sudah menyamai pencapaian bekas penyerang JDT, Mohammed Ghaddar dan Kedah, Marlon Alex James yang muncul selaku penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Super dengan 23 gol.

Ghaddar melakukannya pada musim 2017 ketika menyarung dua jersi – Kelantan (18 gol) dan JDT (5 gol), sementara Marlon Alex James pula menciptanya pada musim 2008 bersama pasukan Kedah.

Walaubagaimanapun, rekod jaringan Marlon Alex James dikatakan sedikit diragui dan menurut artikel oleh Lee Seng Foo ini, Marlon hanya berhasil meledak 21 gol sahaja pada musim tersebut.

Beliau juga sudah jauh meninggalkan rekod jaringan terbanyak bersama JDT sejak 2013 yang sebelum ini dipegang oleh Jorge Pareyra Diaz dengan catatan 18 gol, yang dicipta pada saingan musim 2016.

Berbaki dua perlawanan, siapa yang akan kecundang dalam tekanan persaingan penjaring terbanyak?

Ini adalah baki perlawanan melibatkan JDT dan Selangor musim ini:

JDT

04 Sept: Terengganu FC (Away)

12 Sept: KL City FC (Home)

Selangor

05 Sept: vs Sabah FC (Away)

12 Sept: vs PJ City (Home)

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply