Shukor & Indra Diharap Jadi Inspirasi Skuad Warga Kota

Nama Mohd Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin tidak perlu diperkenalkan lagi di kancah saingan bola sepak Malaysia.

Musim ini, kedua-dua pemain yang memiliki pengalaman luas ini bakal bergandingan bersama dalam memperkuatkan skuad Kuala Lumpur di saingan Liga Premier 2020.

Sasaran Kuala Lumpur di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff pada musim ini amat jelas, iaitu untuk melayakkan diri ke saingan Liga Super pada musim 2021.

Sehubungan dengan itu, Nidzam ketika bercakap kepada Sinar Harian mengharapkan kehadiran kedua-dua pemain tersebut mampu menjadi inspirasi keoada pemain muda yang menganggotai skuad The Hawks pada musim ini.

“Shukor dan Indra Putra adalah pemain yang bagus. Usia ternyata bukan penghalang untuk mereka terus beraksi cemerlang sehingga ke hari ini,” kata Nidzam kepada Sukan Sinar.

“Secara peribadi, saya melihat kedua-dua pemain ini dapat membantu pasukan terutamanya membimbing pemain-pemain muda Kuala Lumpur sekali gus membantu kita untuk kembali ke saingan Liga Super musim depan.”

Gandingan Shukor yang kini berusia 40 tahun bersama Indra Putra yang kini berusia 39 tahun sebenarnya bukan asing. Dua pemain paling senior di Liga Malaysia ini pernah beraksi bersama ketika mewakili skuad Bawah 23 tahun negara pada saingan Sukan SEA 2001.

Nidzam pula yang mengendalikan Kuala Lumpur untuk musim pertama pada tahun ini pula berkata skuad Kuala Lumpur kendaliannya masih memerlukan beberapa penambahbaikan untuk memastikan mereka mampu memberi cabaran yang lebih kompetitif pada musim ini.

FOTO: KLFA Official

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram