Shopee Piala FA: PKNP FC Nafikan Hasrat Perak Buru Bekalan Selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Perak, PKNP FC

Biarpun beraksi dengan baik, Perak gagal mencari bekalan jaringan untuk dibawa pulang ke Ipoh apabila terikat tanpa jaringan menentang PKNP FC dalam saingan suku akhir pertama Shopee Piala FA 2019 di Stadium MP Manjung, sebentar tadi.

Begitupun, The Bos Gaurus sebenarnya miliki dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun dikecewakan oleh palang gol. Ini merupakan pertembungan kali kedua buat kedua-dua pasukan dalam masa 3 hari namun dengan kesudahan yang berbeza.

PKNP FC mempamerkan aksi lebih bertenaga dan menguasai perlawanan di awal babak pertama berbanding pertembungan mereka dalam saingan Liga Super tempohari yang menyaksikan Perak berpesta gol – menang 4-0 di stadium yang sama.

Pemain tengah, Leandro dipaksa bekerja keras menghalang setiap asakan yang cuba diatur tuan rumah terutamanya menerusi gandingan dua pemain, Thomas Abbey dan Giancarlo.

PKNP FC memiliki dua peluang untuk mendahului perlawanan iaitu di minit ke-13 dan ke-16 menerusi percubaan Thomas Abbey dan Giancarlo namun dikecewakan dengan percubaan lemah serta mudah buat Hafizul Hakim untuk menyelamatkan gawangnya.

FOTO: PKNP FC

Emosi juga menyelubungi perlawanan dua pasukan dari Perak ini apabila beberapa kali perlawanan terhenti akibat pergeseran di kalangan para pemain kedua-dua pasukan, sementara perlawanan pula kian rancak dengan kedua-dua pasukan saling mengasak.

Dua kali The Bos Gaurus berpeluang meledak gol dan hampir menewaskan Asyraaf Omar namun dua percubaan daripada gandingan penyerang mereka, Gilmar da Silva di minit ke-18 dan Shahrel Fikri di minit ke-36 digagalkan oleh palang gol tuan rumah.

Perbezaan jelas antara kedua-dua pasukan adalah benteng Perak bijak menyerap asakan tuan rumah sementara PKNP FC pula banyak diselamatkan oleh aksi tangkas penjaga gol, Asyraaf Omar.

Untuk aksi babak kedua, Abu Bakar Fadzim tampil memperbaiki sedikit corak permainan benteng PKNP FC apabila dilihat mengarahkan pertahanan tengah, Amani Aguinaldo untuk merantai setiap gerakan penyerang pelawat, Gilmar.

Mehmed Durakovic pula telah dipaksa membuat dua pertukaran awal di babak kedua apabila Idris Ahmad dan Shahrel Fikri mengalami kecederaan. Walaupun menggunakan dua pemain segar, pelawat masih gagal melakukan percubaan berbahaya.

Hafizul Hakim hampir-hampir memberikan gol mudah buat tuan rumah pada minit ke-73 apabila gagal untuk menangkap kemas bola di udara walaupun tiada pemain lawan yang mengasaknya.

FOTO: PKNP FC

Thomas Abbey miliki dua peluang keemasan untuk memberikan kelebihan buat PKNP FC menerusi percubaan deras dalam kotak penalti di minit ke-81 dan tandukan pada minit ke-85, namun dinafikan dengan baik oleh penjaga gol pelawat, Hafizul Hakim.

Perlawanan akhirnya ditamatkan oleh pengadil dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dan babak kedua saingan suku akhir Piala FA ini bakal dibawa ke Stadium Ipoh, Perak pada 11 Mei depan.

PKNP FC: Asyraaf Omar (PG), Amani Aguinaldo, Sukri Hamid, Ezanie Mat Salleh, Faizzwan Dorahim, Thomas Abbey, Fadhil Idris, Al-Fateh Afandi, Hafiz Ramdan (K) (84′ Ibni Khozaimi) , Yashir Pinto, Giancarlo

Perak: Hafizul Hakim (PG), Shahrul Saad (K), Zac Anderson, Idris Ahmad (45′ Amirul Azhan), Rafiuddin Roddin, Brendan Gan, Leandro dos Santos, Nor Hakim Hassan, Wander Luiz (75′ Nasir Basharudin), Shahrel Fikri (50′ Firdaus Saiyadi), Gilmar da Silva