Shopee Piala FA: Melaka United Berpesta Gol, Sekat Impian Southern FC

Hasrat Southern FC untuk membuat kejutan ke atas pasukan dari Liga Super, Melaka United tidak kesampaian selepas ditewaskan dengan jaringan 0-7 dalam perlawanan pusingan kedua Shopee Piala FA di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Separuh masa pertama

Melaka United hanya menurunkan 3 pemain import dan merehatkan beberapa pemain utama termasuklah Jeon Woo Young, R Surendran dan S Chanthuru.

Manakala beberapa pemain simpanan turut diberikan pendedahan dalam perlawanan ini seperti Mohd Shazlan Alias, Mohamad Faridzuean Kamaruddin, Azmi Muslim, Fauzi Roslan dan Farderin Kadir.

Pasukan kendalian Eduardo Almeida tidak menunggu lama untuk dihadapan apabila pada minit ke 12, pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad menghadiahkan sepakan penalti selepas Fauzi Roslan dijatuhkan dalam kotak penalti.

Yahor Zubovich tenang memanfaatkan sepakan penalti untuk meletakkan pasukannya di hadapan.

R Gopinanthan menambah gol kedua pada minit ke 24 selepas berjaya melepasi seorang pemain pertahanan dan merembat masuk dari sebelah kanan pintu gol lawan dan menyaksikan penjaga gol Southern FC, Mohd Alif Daniel tertewas buat kali kedua.

Berselang 2 minit kemudian, jentera serangan Melaka United seakan tidak mahu mengendurkan asakan dan hasilnya mereka meraih gol ketiga melalui Yahor Zubovich. Gol itu adalah hasil gerakan menarik yang dijana oleh pemain tengah, Thiago Gomis yang bijak melorongkan bola kepada R Gopinathan, seterusnya Gopinanthan membuat hantaran ke tengah dan disudahkan Zubovich menerusi sepakan mudah dalam kotak penalti.

Pada minit ke 35, giliran Fauzi Roslan menambah derita Southern selepas berjaya menanduk masuk hantaran silang Mohd Shazlan dari sebelah kiri pintu gol lawan.

Menjelang hujung permainan babak pertama, kealpaan benteng pertahanan Southern FC sekali lagi dihukum kali ini oleh pemain berpengalaman, Farderin Kadir yang mudah meletakkan bola ke dalam gawang hasil hantaran kemas Zubovich. Tamat separuh masa pertama menyaksikan Melaka United selesa di hadapan dengan jaringan 5-0.

Separuh masa kedua

Melaka United merehatkan Zubovich dan Fauzi Roslan sebelum sepak mula separuh masa kedua dan membawa masuk Nurshamil Abd Ghani dan S Chanthuru.

Pesta gol Melaka United diteruskan pada minit ke 50 selepas Azmi Muslim yang tidak dikawal dalam kotak penalti dan melepaskan sepakan kencang dari sebelah kanan pintu gol lawan yang ternyata sukar untuk dipatahkan penjaga gol.

Menyedari pasukan Melaka semakin selesa di hadapan, jentera serangan dilihat semakin mengendurkan asakan terutamanya pada minit ke 60 sehingga minit ke 70 dan menyaksikan pasukan Southern kerap menembusi kubu pertahanan lawan. Namun tidak cukup untuk menghasilkan sebarang jaringan.

Pemain gantian, Nurshamil Abd Ghani melengkapkan pesta jaringan Melaka United apabila meledak gol ke 7 pada minit ke 76 melalui sepakan lencong dalam kotak penalti sekaligus menyaksikan pasukannya itu mara ke pusingan seterusnya dengan penuh bergaya.

Barisan pemain-pemain:

Southern FC: Hakeem Badri, Low Chun Keong (Tneh Khai Chy), Saiful Aula (K), Soe Zhao Hoe, Wong Kah Heng, Lai Weng Fatt, Mohamad Shahrul Hafifi, Lew Han Hung (Muhammad As’syaqireen), Shahrul Afif (Choong Tuck Wai), How Eng Hua, Mohd Alif Daniel (PG).

Melaka United: Mohd Faizal, Mohd Shazlan, S Sivanesan, Tiago Filipe Gomes (Ahmad Fakri Saarani), Steven Thicot, Yahor Zubovich (Nurshamil Abd Ghani), Fauzi Roslan (S Chanthuru), Azmi Muslim, Faridzuean Kamaruddin (PG), R Gopinathan, Farderin Kadir.

Foto: MUSA

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN