Shopee Piala FA 2018: Zubovich Dijangka Akan Mengganas Malam Ini

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memberi amaran kepada pasukan lawan bahawa penyerang import pasukan itu, Yahor Zubovich mampu memberi masalah kepada barisan pertahanan lawan jika mendapat lorongan bola yang cantik daripada rakan sepasukan.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai aksi pusingan ketiga Piala FA di antara Melaka United dengan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat malam ini.

“Saya nampak penyerang ini memang memainkan peranan seperti yang diharapkan tetapi dia selalu bekerja sendiri.Dia kurang dapat sokongan yang cukup dari pemain midfield dan sayap kita.

“Kalau tengok dalam setiap perlawanan, dia kena bekerja keras untuk buat jaringan. Saya yakin kalau semua pemain beri sokongan yang cukup dia akan jadi aset penting kita untuk melangkah jauh dalam saingan musim ini.

“Jadi, saya harap jurulatih kita dapat melakukan sesuatu supaya dia dapat supply yang cukup daripada pemain lain,” katanya.

Kesebelasan utama skuad Melaka United. FOTO: Melaka United

Yusoff juga berharap pasukannya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal agar tidak menjadi mangsa skuad The Hawks yang  mengejutkan juara bertahan Piala FA 2017, Kedah dan juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan liga super sebelum ini.

Beliau berharap agar skuad bimbingan Eduardo Almeida itu dapat mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan misi untuk melangkah ke suku akhir saingan Piala FA musim ini jadi kenyataan.

“Bukan sahaja kita mahu mengelak kekalahan di Stadium Hang Jebat, tapi kita juga mahu melangkah ke pusingan suku akhir.

“Diharapkan dengan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini, ianya dapat menjadi pemangkin kepada pasukan untuk meraih keputusan yang positif,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram