Shopee Piala FA 2018: PKNP FC Kejutkan Felda United Untuk Mara Ke Aksi Separuh Akhir

PKNP FC

Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) mara ke separuh akhir Shopee Piala FA Malaysia 2018 selepas menundukkan Felda United 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Dua jaringan dari Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada babak pertama sudah cukup untuk memberikan kegembiraan buat kem PKNP FC.

Separuh masa pertama

PKNP FC membuka tirai jaringan pada minit ke-15 bagi menyamakan kedudukan agregit selepas kecundang 1-0 di laman sendiri pada perlawanan pertama tempohari.

Shahrel Fikri yang tidak dikawal pertahanan Felda United berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang berpunca dari sepakan percuma diambil Mohamad Hafiz Ramdan.

Jaringan dari penyerang skuad kebangsaan itu terus meningkatkan tempo permainan dengan pasukan pelawat semakin menggandakan asakan untuk menambah jaringan.

Pemain import PKNP FC dari Korea Selatan, Yeon Gisung melepaskan peluang terhidang pada minit ke-22.

Beliau yang mempunyai ruang terbaik untuk menjaringkan gol setelah tidak diawasi pertahanan tuan rumah, gagal menyempurnakan hantaran lintang dari Mohamad Ezanie Mat Salleh setelah melakukan percubaan lemah kearah pintu gol Felda United.

Anak buah B. Sathianathan kembali menyamakan kedudukan berselang empat minit kemudian menerusi satu rembatan sepakan percuma berkelas dunia oleh Wan Zack Haikal Wan Noor dari jarak hampir 30 meter, bagi menghampakan Ahmad Asyraaf Omar di gawang PKNP FC.

Berpunca daripada hantaran lintang dilakukan Ezanie Mat Salleh dari sebelah kanan pintu gol Felda United, Shahrel Fikri sekali lagi menceriakan pasukan pelawat dengan jaringan kedua pada minit ke-43 yang juga terhasil menerusi tandukan.

Dua jaringan menerusi tandukan dari Shahrel Fikri memperlihatkan kealpaan jentera pertahanan tuan rumah yang diketuai Shukor Adan yang gagal mengawasi dengan ketat kapten PKNP FC itu.

Separuh masa kedua

Felda United memperkemaskan aksi pada babak kedua untuk kembali menjarakkan kedudukan aggregit.

Peluang terbaik mereka muncul pada minit ke-58 selepas Wan Zack berjaya melepasi kawalan dua pertahanan PKNP FC untuk melakukan hantaran cantik kepada Christie Jayaseelan.

Namun, percubaan dari Christie gagal menemui sasaran dan sekadar meliar di sebelah kiri pintu gol PKNP FC.

Tiga minit kemudian, Wan Zack Haikal hampir menyamakan kedudukan menerusi satu lagi sepakan percuma.

Sepakan menarik tersebut bagaimanapun hanya singgah di palang gol walaupun Ahmad Asyraaf kelihatan sudah pun tertewas.

Shahrel Fikri hampir meledakkan hatrik selepas beliau yang menerima lorongan Yeon Gisung meluru pantas untuk mencipta jaringan, namun percubaannya berjaya dinafikan Farizal Harun pada minit ke-82.

Farizal terus bertindak cemerlang menafikan percubaan penyerang PKNP FC selepas beliau tangkas menidakkan percubaan dari luar kotak penalti dilakukan Yeon Gisung.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat permainan untuk kelebihan gol di tempat lawan bagi membawa anak buah Abu Bakar Fadzim mencipta sejarah pertama kali layak ke saingan separuh akhir Piala FA.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN