Shin Tae-yong Sah Bergelar Ketua Jurulatih Indonesia

Shin Tae-yong

Pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-yong sah bergelar ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia selepas Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan secara rasmi kehadirannya menyertai skuad Garuda itu.

Menurut sumber Bolalob, pengendali berusia 50 tahun itu turut diperkenalkan kepada para penyokong di Stadion Pakansari, Cibinong berikutan perlawanan akhir Liga 1 Wanita di antara Tira Persikabo dan Persib Bandung.

Shin Tae-yong mempunyai reputasi besar selepas mengemudi skuad Korea Selatan dalam saingan Piala Dunia 2018 di Rusia dan lebih menarik skuad bimbingannya berjaya menundukkan Jerman 2-0 pada aksi terakhir kumpulan F.

Shin Tae-yong Akan Muktamadkan Kontrak Bersama Sang Garuda Pada 26 Disember

Meskipun pada ketika itu Korea Selatan sudah tersingkir daripada persaingan ke pusingan kalah mati, kejayaan menundukkan Jerman itu menghumban gergasi bola sepak dunia tersebut di tangga tercorot.

Itu pastinya menjadi antara detik terindah dalam karier Shin Tae-yong sepanjang menjadi jurulatih terutamanya di pentas antarabangsa.

Shin Tae-yong dilaporkan memeterai kontrak selama empat tahun bagi menggantikan tugasan yang ditinggalkan pengendali terdahulu kelahiran Aberdeen, Simon McMenemy.

Dalam pada itu, Tae-yong turut akan terlibat dengan skuad bawah 20 tahun Indonesia yang akan menghadapi Piala Dunia 2021.

Kredit foto: PSSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram