Shin Tae-yong Buat ‘Part-Time’ Jadi Pengulas Sukan Olimpik

Shin Tae-yong Korea Selatan Olimpik 2021 Indonesia Pengulas

Tindakan pengendali Indonesia, Shin Tae-yong menjadi pengulas untuk Sukan Olimpik Tokyo mengundang respon daripada Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI).

Perkhabaran mengenai tugasan ‘part-time’ Shin Tae-yong itu diperoleh daripada media Korea Selatan dan PSSI masih menanti kesahihan perkhabaran tersebut. Menurut media di sana, tujuan melantiknya sebagai pengulas adalah untuk tarikan.

“Shin [Tae-yong] telah menjawat jawatan sebagai pengendali skuad Olimpik dan skuad kebangsaan Korea Selatan, secara khusus di Sukan Olimpik 2016. Dia telah memimpin mereka layak ke peringkat suku akhir,” memetik daripada portal Tribunnews.

“Analisis Shin sangat bagus dan ini akan menambah keseronokkan buat penonton bola sepak,” menurut berita yang turut memaparkan wajahnya sebagai pengulas.

Mengapa mereka mengatakan analisis Shin Tae-yong sangat bagus? Jika menelusuri semula sejarah ketika beliau membimbing mereka, perkataan dan ulasan yang ‘terbit’ daripada mulutnya sentiasa ‘menarik’ perhatian para penyokong Korea Selatan.

Berikut adalah antara ulasannya ketika memimpin Taeguk Warriors di edisi 2016:

“Mara sejauh ini, saya mahu pasukan mara ke separuh akhir. Kami mahu berdepan dengan pasukan terbaik di dunia seperti Brazil. Kami telah berdepan Jerman dan Mexico, jadi kami yakin mampu kekang Brazil,” ulasan menjuarai Kumpulan C.

 

“Saya beritahu pemain untuk kekal tenang dan terus menyerang Mexico, tetapi mereka bermain bertahan. Saya rasa nak gila [sambil ketawa]. Ketika rehat saya tanya, bila saya suruh kamu bertahan? Kalau kita bolos ketika bertahan, kita takkan bangkit. Pergi serang!” ulasan selepas menang 1-0 ke atas Mexico.

 

“Kami boleh menang 4-2 [ke atas Jerman]. Kami boleh sahaja main bertahan dan kurang dibolosi lawan, tetapi gaya permainan saya adalah menyerang. Itulah sebabnya,” ulasan mengapa bolos tiga gol ketika terikat 3-3 dengan Jerman.

Untuk rekod, Shin Tae-yong pernah memimpin skuad Korea Selatan mara sehingga ke suku akhir Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Mereka menjuarai saingan Kumpulan C, mengatasi Jerman, Mexico dan Fiji dengan rekod tanpa kalah dalam tiga aksi.

Begitupun, mereka akhirnya tumbang 0-1 di suku akhir kepada Honduras. Jerman yang mereka atasi di peringkat kumpulan akhirnya mara sehingga ke pentas final.

Pengalaman Shin Tae-yong sangat ditagih sebagai pengulas pula ketika ini. “Shin akan bersama Korea Selatan sepanjang langkah mereka di Sukan Olimpik yang diharapkan akan meraih keputusan lebih baik berbanding edisi di London,” tambahnya.

Shin Tae-yong masih belum pulang ke Indonesia sejak Jun lalu disebabkan pandemik COVID-19 yang semakin memburuk di sana. Beliau memohon untuk terus kekal di tanah airnya sehingga 6 Ogos depan. Sepatutnya beliau kembali pada 23 Julai ini.

Melihat pula jadual pertandingan bola sepak di Sukan Olimpik, acara tersebut bakal bermula pada 22 Julai sehingga 7 Ogos. Ia seolah-olah memberi gambaran yang perkhabaran ini adalah benar apabila beliau menangguhkan kepulangannya.

Percaya atau tidak, jika Korea Selatan berjaya mara sejauh ke pentas final, tentu Shin Tae-yong bakal memohon pelanjutan lagi untuk beliau kekal di Korea Selatan.

Menurut Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi, “Kami sedang melihat khabar angin itu dan bertanya kepada Shin Tae-yong sendiri tentang kebenaran cerita tersebut.”

“PSSI sudah memaklumkan kepadanya untuk segera kembali ke Indonesia dan beri keutamaan membimbing skuad kebangsaan Indonesia. Mengikut perancangan pada 6 Ogos [Shin Tae-yong kembali ke Indonesia],” tegasnya lagi kepada media.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply