Sheriff Tiraspol: Kelab Diasaskan Bekas Ejen KGB Di Wilayah Yang Tidak Mengaku Moldova Negaranya Sendiri

Pada pandangan mata kasar, apa yang dilalui oleh Sheriff Tiraspol ketika mengejutkan Real Madrid di saingan UEFA Champions League pada awal pagi tadi seolah-olah sebuah cerita dongeng. Naratifnya ialah sebuah kelab kecil yang tidak dikenali mengejutkan sebuah pasukan gergasi eropah.

Kisah sebegini andai dijaja, hampir pasti boleh dijual sekiranya difilemkan. Ia seperti sebuah keajaiban yang boleh menjadi sensasi di media sosial sekelip mata. Tetapi hakikat sebenarnya sejauh manakah kita mengenali Sheriff Tripasol: Juara Maldova yang sebenarnya tidak pernah dibanggakan oleh rakyat negaranya sendiri?

Wilayah Tiraspol dan Pridnestrovian Moldavian Republic.

Di mata UEFA dan kebanyakkan kita, Sheriff adalah sebuah kelab yang berasal dan mewakili Maldova. Ia ditubuhkan pada 1997 di bandar Tiraspol.

Sherif mungkin adalah juara Moldova pada hari ini, tetapi sebenarnya Tiraspol – sebagai sebuah wilayah – tidak pernah bertanggapan diri mereka sebagai sebahagian daripada Moldova.

Sebaliknya penduduk Tiraspol melihat wilayah dan bandar tersebut sebagai ibu negara kepada Transnitria – atau lebih tepat lagi sebuah wilayah yang digelar Pridnestrovian Moldavian Republic.

Ia adalah wilayah yang mendakwa diri mereka merdeka dari Moldovia yang kita kenali pada hari ini, memiliki mata wang tersendiri, selain bendera rasmi dan kerajaan Supreme Soviet sebagai pentadbir. Namun demikian, wilayah ini tidak pernah diiktiraf oleh dunia.

Di sebalik perbezaan fahaman politik, ia masih tidak menghalang Sheriff beraksi di Liga Maldova (Divizia Națională). Kita jelaskan lebih lanjut mengenai perkara ini nanti.

Sheriff Tiraspol dan Liga Maldova

Di atas kertas Sheriff tidak sesuai untuk dipanggil sebagai sebuah pasukan underdog di Maldova. Kelab tersebut telah menyapu bersih lapan kejuaraan di Maldova sejak sedekad yang lalu.

Kelab tersebut juga memiliki stadium bola sepak sendiri bernilai USD200 juta (RM836 juta) berkapasiti 12,746 tempat duduk. Pada masa yang sama, kelab-kelab bola sepak lain di Divizia Națională beraksi di padang-padang seperti bendang dan ada juga padang perlawanan dikelilingi oleh kawasan tanah terbiar dan hanya mampu memuatkan beberapa ratus penonton pada satu-satu masa.

Pasukan Sheriff pula dipenuhi oleh pemain-pemain import. Kebanyakkan mereka adalah dari Afrika, Amerika Selatan dan negara-negara barat eropah seperti Bulgaria, Republic Czech, Hungary, Poland, Romania, dan Rusia. Pasukan-pasukan lain yang bersaing pula hanya mampu membariskan pemain-pemain tempatan.

Menurut seorang ejen bola sepak, Leonid Istrati dalam sebuah artikel terbitan New York Times, hanya Sheriff yang memonopoli pemain-pemain terhebat di Maldova.

Photo by: Getty Image

“Hanya Sheriff mampu berbelanja mendapatkan pemain berkualiti. Sebelum ini, kelab-kelab lain juga mampu, namun kini mereka sudah tidak boleh berbuat demikian,” jelas Leonid.

Penjelasan dari Leonid ini berkisar kepada kekuatan kewangan yang dimiliki Sheriff. Dari mana mereka mendapat sumber kewangan untuk berbuat demikian?

Sejarah dan cara operasi Sheriff Tiraspol

Sumber kewangan kelab ini datangnya dari kelab ini sendiri. Sheriff sendiri adalah sebuah syarikat yang menjadi tunjang ekonomi di Transnistria. Ia ditubuhkan oleh dua bekas ejen KGB ketika keadaan huru hara di wilayah tersebut pada 1990an, selepas tumbangnya Soviet Union dan ketika perang Transistria yang menuntut kemerdekaan dari Moldova.

Asal usulnya perkembangan Transnistria sebagai sebuah bandar dipercayai datang dari penyeludupan haram yang terkenal dan merupakan sejarah pengwujudan wilayah tersebut.

Ia adalah salah sebuah tempat asal penjualan senjata api haram di eropah, menjadikan Tranistria sebagai punca dan syurga penjenayah, penyeludup dan aktiviti haram. Pendek kata apa sahaja berkaitan jenayah dari penjualan senjata haram sehingga kepada penyeludupan dadah, Tranistria boleh dilabel sebagai ‘wilayah hitam’ di eropah – punca dan pintu masuk kepada segala jenis jenayah.

Pada 2006, Kesatuan Eropah turut melakukan risikan di wilayah yang berada di sempadan Moldova-Ukraine untuk menyiasat data import wilayah tersebut. Hasilnya bersamaan dengan setiap individu daripada 469,000 populasi di sana memerlukan import 91kg paha ayam setahun.

Anda mungkin berpendapat ia adalah persamaan yang lucu. Data tersebut sebenarnya tidak logik. Tetapi ia sebenarnya adalah persamaan kepada item yang diseludup masuk untuk tujuan penyeludupan. Pengasas Sheriff, Viktor Gushan turut mengakui syarikat tersebut terpaksa beroperasi sedemikian rupa demi kelangsungan.

Photo by: Getty Image

Itu asal usul syarikat bernama Sheriff. Hari ini perniagaan syarikat itu semakin meluas dan berada di mana-mana sahaja. Sheriff telah meluaskan rangkaian perniagaannya kepada perusahaan pasaraya, stesen minyak, memiliki stesen televisyen berbayar sendiri dan juga jenama penyedia perkhidmatan telefon.

“Anda harus tahu semua tempat di Transnistrian bekerja hanya untu Sheriff Tiraspol,” kata Ion Jalba, seorang wartawan di Moldova.

“Di Tiraspol (ibu negara Transnistrian) semuanya dikawal oleh syarikat ini. Ada pasaraya Sheriff dan stesen minyak Sheriff.”

Photo by: Getty Image

Bagaimana pula dengan kelab bola sepak Sheriff Tiraspol? Bagi penduduk dan puak pemisah, kelab bola sepak ini dilihat sebagai bayi yang perlu dicanang sepenuh hati oleh setiap orang.

Hasil perniagaan tersebut membenarkan Sheriff membayar setiap pemain sehingga USD15,000 (RM63,000) seorang sebulan untuk beraksi di pertandingan domestik Moldova. Sebagai perbandingan, kelab-kelab lain hanya mampu membayar pemain mereka beberapa ratus ringgit sahaja. Itupun jika tiada tunggakan gaji.

Pengaruh Sheriff Tiraspol di Maldova

Secara sejarahnya, Zimbru Chisinau FC adalah kelab terbesar di dalam bola sepak Maldova. Kelab tersebut kini hanya berharap kepada sewaan stadium oleh pasukan kebangsaan Moldova – dipercayai dengan kebenaran Sheriff.

Sebagai ganti, Sheriff memegang kuasa pertandingan domestik di Moldova. Di sebalik perbezaan fahaman politik di antara Moldova dan Transnistria, hubungan Sheriff dengan badan bola sepak kebangsaan (Persatuan Bola Sepak Moldova) kekal baik, malah dianggap amat akrab.

“Bola sepak di sini dikuasai sepenuhnya oleh Sheriff,” ujar Cristian Jardan, seorang penulis bola sepak di Moldova.

Musim ini badan bola sepak Maldova bukan sekadar menangguhkan perlawanan domestik untuk memberi lebih banyak masa melakukan persiapan untuk Sheriff beraksi di pusingan kelayakan UEFA Champions League, mereka juga sesuka hati mengubah kuota jumlah pemain import yang boleh diturunkan untuk membenarkan mereka memperkuatkan pasukan.

Bagi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Maldova, Ion Testemitanu tiada kelab lain dari Moldova yang mampu bersaing dengan Sheriff – apatah lagi bertanding di peringkat eropah.

Kedudukan akhir Liga Moldova musim lalu.

Kebanyakkan kelab langsung tidak mencuba pun untuk membangun. Setahun lepas badan pencegah rasuah negara tersebut dilaporkan menyiasat sehingga 20 kes menjual perlawanan dengan pemain dibayar ribuan ringgit oleh sindiket perjudian untuk menentukan keputusan perlawanan.

Pemain diarahkan tidak bertanya banyak. Tugas mereka ialah untuk terima sahaja wang ganjaran itu tanpa perlu memikirkan kemenangan.

Masalah bookie dalam bola sepak Moldova sangat parah sehingga beliau sendiri pernah ditawarkan gajaran lumayan oleh sebuah sindiket yang dipercayai berpengkalan di Singapura.

Rumusan: Masa depan bola sepak Maldova

Kehadiran Sheriff Tiraspol di pertandingan UEFA Champions League pada musim ini diharap mampu meredakan situasi tersebut. Kelab itu akan menerima sekitar $20 juta (RM83 juta) hanya kerana berjaya mara ke pusingan peringkat kumpulan.

Ini tidak termasuk bayaran untuk setiap keputusan yang diperolehi termasuk kemenangan ke atas Real Madrid pada awal pagi tadi.

Persatuan Bola Sepak Moldova turut akan menerima imbuhan kerana mempunyai wakil di peringkat kumpulan pertandingan elit eropah ini.

Buat masa ini harapan sangat kecil, bahawa wang mampu menyelesaikan masalah bola sepak di Moldova. Akademi bola sepak tidak mempunyai dana, fasiliti juga serba kekurangan.

Semua tempat kecuali di Sheriff. Hanya di sana memiliki akademi bola sepak yang sebenar. Tetapi ia tidak membawa sebarang makna kerana tidak ada pemain Moldova pun di situ, termasuk yang bermain di Champions League.

Di mata peminat bola sepak Moldova, Sheriff juga tidak mewakili negara mereka. Ia sebenarnya tidak juga mewakili Transnistrian.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply