Sharbinee Allawee Bersyukur Terus Beraksi Dalam Liga Super

Sharbinee

Penjaga gol berpengalaman, Sharbinee Allawee Ramli memanjatkan rasa syukur apabila terus diberikan kepercayaan untuk beraksi dalam saingan bola sepak tertinggi tanah air.

Sharbinee, 33 tahun akan memperkuatkan posisi penjaga gol buat pasukan Pahang bagi menghadapi kempen Liga Super 2020 selepas beraksi untuk Kuala Lumpur pada musim lalu.

Kehadiran Sharbinee bersama seorang lagi penjaga gol yang dibawa masuk, Daniel Wafiuddin mampu untuk memberikan persaingan sihat buat penjaga gol utama Pahang, Helmi Eliza Elias.

”Saya menganggap ia sebagai rezeki buat saya untuk beraksi di sini dan saya gembira Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) masih mempercayai kebolehan saya,” ujar Sharbinee kepada The Star Online.

”Helmi merupakan pemain yang sangat berpengalaman dan dia menikmati musim yang baik bersama Pahang pada musim lalu manakala Daniel adalah pemain dengan potensi besar. Saya akan bekerja keras untuk menjadi penjaga gol nombor satu buat pasukan.”

”Saya melihat persaingan ini sebagai motivasi yang cukup bagus buat saya untuk menjadi pemain yang lebih baik. Penjaga gol masih boleh beraksi walaupun mereka berusia 30-an. Saya rasa masih banyak yang boleh saya sumbangkan.”

”Ini merupakan satu penghargaan dan saya harapkan agar dapat menyumbang.”

Sharbinee memulakan karier profesional pada tahun 2006 dengan menyarung jersi Terengganu dan selepas enam musim, beliau memilih untuk berhijrah ke Selangor. Hanya semusim di Shah Alam, Sharbinee kembali semula ke negeri kelahirannya.

Pada Mei 2018, beliau menyertai Kuala Lumpur tetapi gagal menghalang pasukan tersebut daripada tersingkir ke saingan Liga Premier 2020.

Kredit foto: Pahang FA

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply