Shane Duffy Harungi Mimpi Ngeri Pertahanan, Jaring 3 Gol Sendiri Sebelum Dibuang Padang

Jika anda rasa hari ini merupakan hari tidak bertuah anda, fikir semula.

Ketika perlawanan liga English Championship antara tuan rumah, Cardiff City dengan Blackburn Rovers semalam (17 Ogos 2016), pertahanan Blackburn Rovers, Shane Duffy telah mengharungi 90 minit terburuk dalam kerjaya bola sepaknya; malah mungkin 90 minit terburuk bagi mana-mana pemain bola sepak profesional.

Dalam perlawanan menentang Cardiff City semalam, Duffy menjaringkan 2 gol sendiri sebelum diarahkan keluar padang oleh pengadil kerana mendapat kad merah!

Bagaimanapun episod malang Duffy tidak bermula pada hari tersebut. Ia bermula lebih awal.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga

Episod malang Duffy bermula ketika Blackburn Rovers bertemu Wigan Athletic, 5 hari sebelum beliau menjaringkan 2 gol sendiri sebelum dibuang padang.

Dalam perlawanan itu Blackburn Rovers tewas 3-0 kepada Wigan Athletic.

Namun ia lebih malang bagi Duffy apabila beliau menjaringkan gol sendiri pada lewat permainan.

Ini terjadi selepas beliau tertampan satu hantaran lintang yang dibuat oleh seorang pemain Wigan Atletic. Tampanan beliau kemudiannya masuk ke gol pasukannya sendiri, sekaligus menghadiahkan gol ke-3 untuk Wigan.

Gol sendiri dan kad merah

Badi malang Duffy tidak berakhir di situ.

Ketika berkunjung ke Cardiff City Stadium untuk menentang Cardiff City, Blackburn Rovers sekali lagi tewas 2-1.

Siapakah penjaring gol untuk kesemua gol Cardiff City? Siapa lagi kalau bukan Shane Duffy!

Gol sendiri pertama Duffy dijaringkan selepas bola rembatan pemain Cardiff, Declan John terkena tiang dan melantun ke kaki Duffy sebelum masuk ke dalam gol.

Manakala gol sendiri kedua Duffy terhasil selepas beliau menanduk masuk bola ke dalam golnya sendiri yang berpunca dari hantaran lintang Peter Whittingham.

Blackburn Rovers berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan penyerang Danny Graham pada babak akhir permainan.

Namun usaha kebangkitan mereka sia-sia kerana satu perkara – kad merah yang diterima Duffy.

Ketika Blackburn Rovers asyik menyerang di minit akhir permainan, Duffy yang naik ke atas untuk membantu pasukannya mencari gol penyamaan terperangkap ofsaid.

Kecewa dan berang kerana terperangkap ofsaid, Duffy merembat bola ke arah pemain lawan yang berada di hadapannya.

Pengadil yang berada berhampirannya dengannya terus memberikan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah kepada Duffy di minit akhir perlawanan.

Ia merupakan tindakan yang bodoh.

Tidak gembira

Pengurus Blackburn Rovers iaitu Owen Coyle (gambar bawah) menyifatkan prestasi buruk Duffy disebabkan kerana beliau dikhabarkan telah menolak tawaran kontrak baru oleh pihak kelab.

Coyle menyifatkan pengaruh dari pihak ketiga menyebabkan Duffy menolak kontrak baru dari Blackburn.

“Apa yang sukar mengenai bola sepak moden ini adalah campur tangan pihak ketiga.”

“Pihak ketiga ini akan membisik perkara lain ke telinga kiri pemain, dan membisik satu lagi perkara lain ke telinga kanan pemain.”

Coyle menggesa pemain-pemainnya memberi tumpuan sepenuhnya ketika beraksi di padang walaupun telinga mereka sering ‘dibisik’ pihak ketiga.

“Mereka perlu memberikan tumpuan sepenuhnya apabila di padang. Di dalam bola sepak moden mereka mesti bijak menguruskan hal ini.”

“Apabila pemain beraksi di padang, mereka perlu berjuang sehabis baik. Namun perkara itu tidak terjadi pada perlawanan ini.”

Blackburn Rovers kini ditangga terakhir Liga Championship England dengan tanpa sebarang mata dari 3 perlawanan.

Baca juga: Blackburn Rovers 1994/95: Juara Yang Dilatih Dalglish, Diketuai Sherwood, Ditunjangi Gandingan SAS

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN