Shahrul Saad: De Paula Tambah Sengat Serangan Perak

De Paula

Pemain pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad yakin kemasukan bahawa kehadiran penyerang import, Guilherme De Paula ke dalam pasukan Perak akan memberikan impak.

Hal ini kerana, rekod pemain itu di dalam Liga Malaysia sangat baik dan menjadi igauan ngeri pertahanan pasukan lawan.

Perak sah memiliki De Paula untuk memperkuat jentera serangan mereka pada musim akan datang.

Bercakap kepada Stadium Astro, Shahrul Saad berkata: “Saya rasa dia (De Paula) dah biasa dengan Liga Malaysia. ”

“Kita tahu dia juga dapat menjaringkan banyak gol dengan Kuala Lumpur pada musim lalu. Saya harap dia dapat teruskan momentum itu untuk pasukan Perak pula,” tambah beliau lagi.

Shahrul Saad kemudian menyatakan bahawa sasaran mereka pada musim hadapan adalah untuk memberikan saingan terbaik kepada pasukan-pasukan lain termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Kedah dan Selangor dalam saingan Liga Super.

“Saya rasa tak mustahil untuk kami semua bersaing dengan pasukan seperti JDT, Pahang, Kedah dan Selangor. Paling penting adalah semangat juang bersama-sama. Kalau kita serius, kita boleh buat,” katanya lagi.

Perak masih lagi kekal dibimbing oleh Mehmet Durakovic bagi menghadapi musim hadapan.

Ditanya tentang pandangan beliau berkenaan dengan kehilangan Brendan Gan di dalam pasukan, Shahrul Saad yakin akan ada pemain, terutama sekali pemain muda yang mampu menggantikan Brendan.

Guilherme De Paula bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak tanah air apabila beliau pernah menyarung jersi Selangor, PDRM FA dan Kuala Lumpur sejak dari tahun 2015.

Antara kejayaan yang pernah diraih beliau adalah ketika membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia 2015 dan juga menjadi tonggak kejayaan Kuala Lumpur memenangi saingan Liga Premier 2017.

Musim 2015 menyaksikan beliau bersama-sama Leandro Dos Santos membawa cabaran Selangor dan lebih menarik ketika itu mereka dibimbing oleh Mehmed Durakovic.

Seperti semua sedia maklum, De Paula bersama-sama Liridon Krasniqi merupakan pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dijadikan pemain naturalisasi sebagai pelan jangka pendek dalam memperkuatkan skuad kebangsaan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram