Shahrul Saad, De Paula Sekadar Ke JDT II?

Shahrul Saad De Paula JDT

Penyertaan dua pemain kebangsaan Shahrul Saad dan Guilherme de Paula bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi berita paling hangat yang diperkatakan ketika ini.

Kedua-dua pemain ini dilaporkan meninggalkan Perak selepas majikannya tidak melunaskan tunggakan tiga bulan gaji.

Perkembangan itu sekaligus menjadikan skuad Harimau Selatan itu kini tempat ‘lambakan’ pemain kebangsaan. Pada awal musim, pasukan itu juga telah merekrut Mohamadou Sumareh dan Daniel Amier Norhisham bagi menambah ‘koleksi’ mereka.

Maka timbul persoalan di manakah tempat kedua-dua pemain ini memandangkan skuad utama JDT ketika ini sudah pun dipenuhi oleh pemain-pemain berprofil tinggi termasuk di posisi mereka bermain.

Melihat kepada situasi De Paula, JDT sudah pun mempunyai penyerang sensasi dari Brazil, Bergson da Silva yang merupakan penjaring terbanyak pasukan ketika ini. Di sana juga ada dua penyerang kebangsaan iaitu Syafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri.

Pengendali JDT, Benjamin Mora juga dilihat ada kalanya gemar untuk menurunkan penyerang JDT II Fernando Rodriguez bersama skuad utama.

Jika mahu ‘ditolak’ ke posisi sayap, di sana juga sudah ada deretan pemain handalan seperti Gonzalo Cabrera, Sumareh, Safawi Rasid serta dua pemain muda sedang meningkat naik iaitu Arif Aiman dan Ramadhan Saifullah.

Maka sudah pasti peluang pemain naturalisasi itu agak tipis untuk bermain secara lebih kerap, melainkan beliau sedia untuk beraksi bersama JDT II di Liga Premier.

Jika beliau sekadar memanaskan bangku simpanan dan kurang minit permainan, tentunya ia bukan perkembangan yang positif buat skuad kebangsaan untuk jangka masa panjang.

Malah Tan Cheng Hoe sendiri telah menyatakan sedikit kegusarannya mengenai prestasi penyerang kebangsaan di Liga-M.

Bagitu juga dengan Shahrul yang perlu bersaing dengan tiga pemain pertahanan kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abdul Razak dan Adam Nor Azlin dan Fadhli Shas. Tempat pertahanan import Mauricio dos Santos tentunya sukar digugat sama sekali.

Adakah tonggak pertahanan kebangsaan ini yang juga bekas kapten Perak ini juga sekadar dibawa masuk untuk ‘memperkuatkan’ JDT II?

Jika difikirkan dari sudut yang lain, bermain atau tidak, JDT atau JDT II, mungkin ianya boleh difikirkan kemudian kerana apa yang penting adalah menerima gaji setiap bulan seperti yang dijanjikan dalam kontrak.

Berdasarkan ciapan di Twitter mengenai situasi kedua-dua pemain ini, pengarah teknikal dan pengurus JDT dikatakan akan memberikan maklumat dan informasi lanjut.

Persoalan ini kami akan cuba rungkaikan dengan bertanya terus kepada Benjamin Mora selepas aksi menentang Penang di Stadium Bandaraya pada malam ini.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Manuel Hidalgo: Sanggup Tinggalkan Eropah Kerana Maradona, Kini ‘Hero Segera’ Sri Pahang

3 Sebab Shahrul Saad Mungkin Hampiri Perpindahan Ke JDT

Retak Menanti Belah, Bagaimana Aksi Perak FC Sebelum Liga Berehat?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply