Shahrom Terkejut Dengan Berita Perletakan Jawatan Nelo Vingada

Kelmarin laman facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat pengumuman mengejutkan tentang ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Selepas hanya lima bulan Vingada mengemudi pasukan kebangsaan, Malaysia gagal memenangi ketujuh-tujuh perlawanan di bawah kendaliannya sejak Jun lalu namun beliau seharusnya diberikan kredit kerana menggunakan tenaga muda dalam pasukan kebangsaan.

Pemain pertahanan negara, Shahrom Kalam yang bercakap kepada berita harian mengakui terkejut dengan berita perletakan jawatan itu dan merasakan Vingada sudah menunjukkan peningakatan.

“Saya terkejut apabila mengetahui yang jurulatih melepaskan jawatan apatah lagi saya dapat rasakan yang beliau menunjukkan peningkatan biarpun keputusan tidak memihak kepada kami,” kata Shahrom yang sudah beraksi 21 kali bersama pasukan kebangsaan.

Shahrom, yang diturunkan dalam enam daripada tujuh perlawanan di bawah Vingada, merasai betapa tanggungjawab berkenaan harus dipikul bersama.

“Kami selaku pemain harus bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Namun, kami tidak boleh melakukan apa-apa mengenai pemergian Vingada dan sekarang kita lihat apakah yang bakal berlaku,” katanya.

Nelo Vingada bersama pembantunya ketika mengendalikan pasukan kebangsaan.

Pemilihan Vingada sering dipersoalkan terutama ketika tewas berturut-turut dalam aksi kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara di Buriram, Thailand, bulan lalu.

Hanya Shahrom, penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan pemain tengah Kiko Insa menjadi pemain yang sering diturunkan dalam kesebelasan Vingada dengan pengendali Portugal itu jelas mahu mencari persefahaman antara pemain berpengalaman dan muda.

Vingada memberi peluang kepada 10 pemain untuk membuat kemunculan antarabangsa pertama sejak Jun lalu antaranya pemain Bawah 23 tahun, Adam Nor Azlin, Ahmad Khairil Anuar Zamri, Nor Azam Azih, Syafiq Ahmad dan Syamer Kutty Abba.

Selain lima pemain muda itu, turut merasai pengalaman antarabangsa buat kali pertama ialah Afiq Fazail, Amirul Azhan Aznan, Shahrel Fikri Fauzi, Insa dan Hafizul namun pasukan kurang berpengalaman di peringkat antarabangsa biasanya sentiasa terdedah dengan masalah kurang persefahaman.

Khairil Anuar atau Beto antara pemain muda yang diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Korea Utara di Buriram.

Biar sesiapapun yang bakal menggantikan Vingada, ia pasti mencetuskan kebimbangan pemain di mana kedudukan mereka bersama pasukan pasti terancam.

Mana-mana jurulatih sudah pasti akan melakukan perubahan ketara namun Shahrom percaya ia masih terlalu awal untuk memikirkannya.

“Kami masih tidak mempunyai bayangan mengenai siapakah yang bakal menjadi jurulatih kebangsaan selepas ini jadi saya fikir masih terlalu awal untuk mengatakan mengenai karier antarabangsa saya sudah berakhir,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN